Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

26 Nov 2013

UiTM, UIAM MUNCUL JUARA DEBAT PERDANA GENDER 2013


SERI ISKANDAR – Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) hari ini muncul juara dalam kategori masing-masing bagi pertandingan Debat Perdana Gender 2013.

UiTM menewaskan pasukan Universiti Putra Malaysia bagi kategori bahasa Melayu manakala UIAM menumpaskan Universiti Malaya pada peringkat akhir pertandingan yang berlangsung di Universiti Teknologi Petronas (UTP) di sini.

Raja Puan Besar Perak Tuanku Zara Salim berkenan menyempurnakan perasmian penutup dan menyampaikan hadiah kepada para pemenang.

Pasukan UiTM yang mempertaruhkan pendebat Mohammad Johan Mat dan Rabiatul Adawiyah Sulaiman dan UIAM yang diwakili Khadijah Shamsul dan Mubarrat Wassey menerima hadiah wang tunai RM3,500, piala iringan dan sijil penghargaan.

Mohd Ikhwan Roseli dari Universiti Sains Islam Malaysia dan Shafiq Bazari dari UiTM yang masing-masing dinobatkan selaku pendebat terbaik bagi kategori bahasa Melayu dan bahasa Inggeris, menerima hadiah wang tunai RM500 dan sijil perhargaan.

Sebanyak 26 institusi pengajian tinggi awam dan swasta melibatkan 78 pasukan menyertai pertandingan anjuran agensi Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat iaitu Institut Pengupayaan Wanita bagi Anggota Pergerakan Negara-negara Berkecuali dengan kerjasama UTP serta Majlis Debat Universiti-universiti Malaysia.

Pertandingan yang diperkenalkan pada 2011 itu bertujuan memberi pendedahan kepada golongan belia khususnya pelajar mengenai isu berkaitan gender di negara ini dan peringkat antarabangsa.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim dalam ucapannya berkata segala pandangan dan idea bernas yang dibangkitkan dalam perdebatan itu akan dipertimbangkan untuk perancangan serta pelaksanaan program kementerian di peringkat akar umbi.

“Generasi muda cenderung terhadap isu semasa universal seperti persekitaran, hak asasi manusia, dan ‘perbezaan gender’. Oleh itu, generasi muda perlu dilibatkan dalam pembentukan sebarang dasar kerajaan terutamanya berkaitan pembangunan sosial,” katanya.

Katanya, pertandingan seperti itu secara tidak langsung memberi kesedaran dan pemahaman kepada para pelajar mengenai isu dan hak wanita selain menjadi medium untuk bertukar idea selain berupaya mengasah kemahiran insaniah serta intelektual mahasiswa. 

Sumber : BERNAMA



TERIMA KASIH KERANA SUDI MENGUNJUNGI BLOG KELAB HOKI STAR.KAMI MENGALU-ALUKAN SEBARANG KOMEN ANDA

0 comments :

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...