Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

2 Oct 2016

STAR UNGGULI DEBAT LAVOS UITM MELAKA 2016

Pada 2-4 September 2016, STAR telah menghantar pasukan Debat Bahasa Melayu untuk menyertai Pertandingan Debat Language Art Voice of SISWA (LAVOS) Anjuran Universiti Teknologi MARA, Kampus Melaka. Pertandingan ini merupakan pertandingan debat antara Institut Pengajian Tinggi. Walau bagaimanapun, beberapa buah sekolah yang memiliki etos dalam perbahasan turut dijemput untuk menyertainya.
Apa yang menarik, objektif utama penyertaan STAR dalam pertandingan ini adalah untuk memastikan para pelajar diberi pendedahan bersama pembahas-pembahas universiti. Walaubagaimanapun, STAR mencipta kejutan apabila berjaya mengungguli pertandingan apabila muncul JOHAN menewaskan sebuah lagi pasukan sekolah iaitu MCKK. Di peringkat separuh akhir, STAR menewaskan UiTM Dengkil manakala MCKK menewaskan UIAM. 
Diperingkat akhir, kedua-dua pasukan membahaskan usul bertajuk  59 Tahun Merdeka : Biduk Berlalu Kiambang Bertaut. Dengan juri 6-1  kemenangan diumumkan berpihak kepada STAR manakala Ilman Hakim (STAR) sebagai pembahas terbaik. Tahniah kepada pasukan debat Bahasa Melayu STAR. Hadiah disampaikan oleh YB Dato Seri Rohani binti Abdul Karim, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.




TERIMA KASIH KERANA SUDI MENGUNJUNGI BLOG KELAB HOKI STAR.KAMI MENGALU-ALUKAN SEBARANG KOMEN ANDA

1 Aug 2016

TERIMA KASIH AFIF DAN SYAMEEL



Bagi pihak KDBM STAR, saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan ribuan terima kasih kepada Muhammad Afif Nazhan bin Mohd Hasni dan Muhammad Syameel Aieman bin Azlan atas sumbangan mereka kepada STAR sepanjang lima tahun ini. Tidak dinafikan mereka berdua antara pendebat terbaik yang pernah dilahirkan di STAR. Antara catatan kejayaan yang dilakarkan adalah: 

1. Naib Johan Debat Piala Tun Razak (2013)
2. Separuh akhir Debat Piala Menteri Besar Perak (2014)
3. Separuh Akhir Bahas Piala Perdana Menteri (2014 & 2016)
4. Johan Debat Dakwah Negara (2014)
5. Separuh Akhir Debat Antara Sekolah Malaysia UIAM (2015)
6. Johan Cabaran Debat Zaaba (2015)
7. Naib Johan MUSLEH International Students Debate Championship (2014 & 2016)
8. Naib Johan Pidato Piala DiRaja Kebangsaan (2015)
9. Suku akhir Cabaran Debat Muda 2121 Antara IPT (bertanding dengan pendebat universiti)
10. Johan Debat Antara Sekolah Malaysia UIAM (2016)
11. Johan Bahas Piala Perdana Menteri (2015)

Selamat bersara dari arena perdebatan peringkat sekolah. Semoga sedikit ilmu yang dicurahkan memberi manfaat. Semoga berjaya dalam SPM, dalam hidup, dunia dan akhirat. Debat kisah indah. Dengan ini DEWAN DITANGGUHKAN.

TERIMA KASIH KERANA SUDI MENGUNJUNGI BLOG KELAB HOKI STAR.KAMI MENGALU-ALUKAN SEBARANG KOMEN ANDA

BASIS, MCKK JUARA BAHAS PIALA PERDANA MENTERI 2016



KUALA LUMPUR: Sekolah Menengah Sains Banting (BASIS) pertama kali muncul juara mengenepikan saingannya dari Kolej Tunku Kurshiah (TKC) dalam Pertandingan Akhir Bahas Piala Perdana Menteri ke-43 bagi kategori bahasa Melayu di Dewan Aminuddin Baki Institut Pendidikan Guru Kampus Bahasa Melayu (IPGKBM), di sini, har ini. Kategori bahasa Inggeris pula dimenangi oleh Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK), yang memenangi johan dua kali berturut-turut pada tahun 2014 dan 2015.

Kedua-dua sekolah menerima hadiah wang tunai RM4,000 bersama piala pusingan, piala iringan dan sijil penyertaan. Manakala pembahas terbaik kategori bahasa Melayu Zulaika Zamaluddin, 17 dan bahasa English, Amir Aniq Abdul Hazis, 17, masing-masing dari BASIS dan MCKK menerima RM1,000, piala iringan dan sijil. Hadiah disampaikan oleh Ahli Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka dan Ahli Lembaga Pengarah Sekretariat Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI), Prof Tan Sri Dr Abdul Latiff Abu Bakar. Amir Aniq berkata, kejayaan itu bukan senang dicapai setelah banyak halangan perlu ditempuhi, malah kegagalan sebelum ini banyak mengajar mereka untuk bangkit, sekali gus mengekalkan penyandang sebagai johan tiga tahun berturut-turut.

 "Seorang pembahas perlu menjaga disiplin seperti sentiasa mengetahui isu semasa dan banyak membaca," katanya yang juga ketua kumpulan. Sementara itu, Zulaika berkata, kejayaan berkenaan banyak didorong motivasi oleh ibu bapa, guru dan rakan-rakan serta komitmen daripada semua. "Bagi saya setiap pembahas perlu ada tiga P iaitu pembahas, pembimbing dan pengorbanan dan percaya setiap peserta yang datang mempunyai kelebihan tersendiri," katanya. Info Topik bahas bahasa Melayu 'Teknologi mekanisma terbaik membanteras jenayah'. Topik bahas bahasa English 'This house believes "That in the name of humanity all contries should take in refugees tbat suffer from humanitarian crisis". 69 buah sekolah berasrama penuh mengambil bahagian.


TERIMA KASIH KERANA SUDI MENGUNJUNGI BLOG KELAB HOKI STAR.KAMI MENGALU-ALUKAN SEBARANG KOMEN ANDA

26 Jul 2016

STAR JUARAI DEBAT SEKOLAH MALAYSIA UIAM 2016


GOMBAK: Sekolah Tuanku Abdul Rahman (STAR), Ipoh, Perak muncul johan kategori Bahasa Melayu Pertandingan Debat Antara Sekolah Malaysia kali ke-14, 2016 yang berlangsung di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di sini, hari ini. Membahaskan isu 'Pemerintahan Tentera di Negara-negara Bergolak' bagi kategori Bahasa Melayu, STAR berjaya menundukkan pasukan pendebat dari Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK), Perak. 

Kemenangan itu sekali gus melayakkan STAR membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM3,000 beserta piala pusingan, piala iringan, piala individu dan sijil. Kategori bahasa Inggeris pula menyaksikan kehebatan pendebat Sekolah Dato' Abdul Razak (SDAR), Negeri Sembilan menewaskan pasukan STAR dengan isu perdebatan 'Amerika Syarikat Perlu Membayar Wang Tebusan kepada Kumpulan Pengganas Untuk Membebaskan Rakyatnya'. Sebanyak 80 pasukan mengambil bahagian dalam pertandingan anjuran UIAM dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia yang bermula 22 Julai lalu. 






TERIMA KASIH KERANA SUDI MENGUNJUNGI BLOG KELAB HOKI STAR.KAMI MENGALU-ALUKAN SEBARANG KOMEN ANDA

9 May 2016

TERIMA KASIH JARINGAN 11 DARI KDBM STAR

Sekalung apresiasi dan ucapan terima kasih buat STAROBA Batch 1972 atau turut dikenali sebagai Jaringan 11 atas kesudian sekali lagi menyumbangkan bantuan kewangan buat pasukan Debat Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris STAR bagi menggerakkan aktiviti kelab dan persediaan menghadapi HKSBP dan pertandingan-pertandingan lain. Jaringan 11 telah banyak membantu KDBM STAR setiap tahun. Hanya Allah yang dapat membalasnya.







TERIMA KASIH KERANA SUDI MENGUNJUNGI BLOG KELAB HOKI STAR.KAMI MENGALU-ALUKAN SEBARANG KOMEN ANDA

21 Apr 2016

USUAL DEBAT YAYASAN SELANGOR 2016

Usul Cadangan Pertandingan Debat Yayasan Selangor 2016

Tema 1 - Antarabangsa
1. Kita Perlukan Amerika Syarikat Kedua
2. COP21: Negara Maju Mempunyai Tanggungjawab Yang Lebih Dalam Menangani Pemanasan Global Berbanding Negara Membangun
3. Dewan Ini Percaya Krisis Di Syria Hanya Boleh Ditangani Oleh Syria Sendiri
4. Dewan Ini Akan Memberikan Status Terra Nullius Kepada Kepulauan Spratly Demi Menangani Masalah Perebutan Kawasan Tersebut
5. Dewan Ini Percaya Tindakan Pyongyang Adalah Tepat
6. Komuniti Asean: Rakyat Asean Masih Bersempadan


Tema 2 - Pendidikan
1. DLP Mengehadkan Penguasaan Bahasa Pelajar
2. PBS Hanya Jenama Baharu
3. KPT Dan KPM Perlu Dikahwinkan Semula
4. Dewan Ini Percaya Mahasiswa Kita Dalam Sangkar
5. Dewan Ini Akan Menghentikan Pengkelasan Pelajar Mengikut Pencapaian


Tema 3 - Kenegaraan
1. Sejarah Negara Wajar Ditulis Semula
2. Barah Integriti Tiada Ubat
3. Ola Bola: Perpaduan Sekadar Dilayar Perak
4. Dewan Ini Percaya Kita Perlukan Rumah Merdeka
5. Wasatiah Hanya Konsep yang Dilaung
6. Belia Kita Buta Patriotisme


Tema 4 - Humour / Peribahasa
1. Sekiranya Adiwira Wujud, Mereka Wajib Berdaftar Dengan Kerajaan Bagi Operasi Akan Datang
2. Tidak Perlu Dipecahkan Ruyung Untuk Mendapatkan Sagu
3. Populariti Versi DivaAA Menguntungkan
4. Kadang-Kadang Kita Perlu Menjadi Pak Pandir
5. Kerana Marahkan Nyamuk Kelambu Wajar Dibakar
6. Serangga Kini Setanding Gajah


Tema 5 - Ekonomi
1. TPPA: Malaysia Ialah Penukang Tanpa Penukul
2. Pengembalian Semula Subsidi Penawar Masalah Mikroekonomi Negara
3. GST: Selangkah Kebelakang Sepuluh Langkah Kehadapan
4. Ekonomi Selangor Adalah Model Terbaik
5. Dewan Ini Percaya Arab Saudi Perlu Beralah Dalam Isu Minyak Dunia
6. Dewan Ini Akan Mengkaji Semula Kadar Bayaran Levi Pekerja Asing



TERIMA KASIH KERANA SUDI MENGUNJUNGI BLOG KELAB HOKI STAR.KAMI MENGALU-ALUKAN SEBARANG KOMEN ANDA

TEKS PIDATO : RAKYAT BERINTEGRITI, NEGARA CEMERLANG

RAKYAT BERINTEGRITI, MALAYSIA CEMERLANG

Bimillahirrahmanirrahim,

Sewaktu kita masih kecil,  kita diberitahu oleh ibu bapa kita tentang fungsi tiga warna pada  lampu isyarat. Warna MERAH untuk berhenti, warna HIJAU untuk meneruskan perjalanan dan warna KUNING untuk sedia berhenti. Namun, selepas meningkat dewasa, doktrin yang telah dikoordinasikan semenjak kecil, ibarat masuk telinga kanan, keluar telinga kiri. Tatkala keseorangan dalam pemanduan, tanpa ada seseorang yang memandang ataupun pihak berkuasa melakukan sekatan, kita menghijaukan warna Merah dan kita juga menghijaukan juga warna kuning. Inilah secebis kisah tentang INTEGRITI.

Salam apresiasi buat  saudara pengerusi majlis, barisan panel kehakiman yang penuh berintegriti, dif-dif kehormat  yang disanjungi,  seterusnya  hadirin yang bervisi  dekat di hati.  Assalamualaikum w/b/t salam 1 Malaysia  buat anda semua.

RAKYAT BERINTEGRITI, MALAYSIA CEMERLANG begitulah mauduk pidato yang bakal saya persembahkan  buat  santapan minda warga dunia.

Menurut Mantan Perdana Menteri, Tun Abdullah Haji Ahmad Badawi, konsep Rakyat Berintegriti mencakupi perkara-perkara yang lebih besar dari isu rasuah semata-mata. Rakyat Berintegriti membawa maksud rakyat  yang memiliki nilai-nilai amanah, boleh dipercayai, jujur dan  sifat-sifat peribadi yang teguh. Maka, untuk menjadikan Malaysia Cemerlang, kualiti unggul yang digariskan menerusi konsep Rakyat berintegriti diperlukan bagi memacu kecemerlangan Malaysia.

Namun persoalannya, bagaimanakah kita dapat melahirkan Rakyat Berintegriti yang akan memacu kecemerlangan Malaysia ?

Maka hayatilah pragmatik yang pertama INSTITUSI KELUARGA DIPERKASA, INTEGRITI TERPELIHARA

Institusi  keluarga  merupakan institusi penting dalam masyarakat kita kerana asas segala asuhan  bermula daripada  keluarga.  Ibarat melentur buluh biarlah dari rebungnya. Sedari kecil, anak-anak perlu dididik dengan sifat-sifat peribadi yang teguh, dan ibu bapa juga seharusnya menjadi suri teladan terbaik buat anak-anak. Menurut Prof Syed Naquib Al Atas dalam bukunya Ar Risalah, mengatakan peranan institusi keluarga sangat utama dalam pembentukan masyarakat sejahtera. Statistik yang dikeluarkan oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menunjukkan setiap 15 minit, satu pasangan islam bercerai di Malaysia, setiap 5 hari, seorang bayi kecil dibuang tanpa rasa berdosa dan setiap dua  hari, 2 orang remaja kita lari dari rumah. Kegagalan integriti  diterapkan sedari awal menyebabkan institusi keluarga menjadi pincang, dan akhirnya Malaysia yang cemerlang terencat untuk dizahirkan.  Namun saya ingin berterima kasih  kepada  ibu bapa di hadapan saya yang menyahut kempen Rumahku Syurgaku, Baiti Jannati yang sentiasa menyemaisuburkan asas integriti dalam  kalangan ahli keluarga, berteraskan yang tua dihormati, yang muda disayangi. Lantaran itu, rakyat berintegriti yang ditunjangi oleh kekuatan institusi kekeluargaan dapat dilahirkan, akhirnya Malaysia Cemerlang di persada dunia.

Sidang hadirin bervisi

Pragmatik kedua PENDIDIKAN DIMANTAPKAN, INTEGRITI DIBUDAYAKAN

Sedari Awal Kalimah Iqra diturunkan oleh Pencipta adalah untuk menyeru seluruh umat manusia mencintai ilmu. Maka, seharusnya Institusi pendidikan menjadi tapak  untuk menanam asas integiriti dalam kalangan rakyat Malaysia. Kita sedar, institusi pendidikan merupakan institusi cukup dihormati dan dekat di hati. Namun kita disentak dengan beberapa isu integriti dalam bidang pendidikan, kes kebocoran soalan UPSR yang tidak sepatunya berlaku sehinggalah kisah  pelajar memukul guru yang berkorban mencurahkan  ilmu. Cukup sedih apabila melihat SEORANG  murabbi diperlakukan sedemian rupa. Namun, saya cukup yakin, itu hanya kes-kes terpencil kerana masih ramai dalam kalangan  putra-putri merdeka yang menjunjung falsafah rasmi padi, semakin berisi, semakin menunduk ke bumi. Usaha-suaha diperkasakan melalui sektor pendidikan untuk menyemaisuburkan integriti bukan sahaja dalam kalangan pelajar, malahan kepada murabbi.  Dari seawal Penyata Razak sehinggalan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia ,  pelbagai usaha dilaksanakan bagi melahirkan modal insan beringriti.  Pendidikan agama dan moral diwajibkan, pendidikan sivik dan  kewarganegaraan juga diperkasakan, kegiatan kokurikulum disulam dengan asas integriti yang kuat. Lantaran itu, lahirlah modal insan bermentaliti kelas pertama yang akan memacu kecemerlangan Malaysia.


Pragmatik ke tiga, MEDIA MASSA MAINKAN  PERANAN, AMALAN INTEGRITI DITINGKATKAN.  Menyedari betapa dunia hari ini dihujani dengan ledakan media sosial, kita tidak boleh mengatakan tidak kepada kehadiran teknologi ini. Dilaporkan bahawa kini terdapat lebih 500 juta pengguna facebook dan lebih 100 juta pengguna twitter di seluruh dunia, membuktikan media social merupakan satu ancaman jika tidak digunakan dengan cara yang betul. Insiden pergaduhan di Plaza Low Yat pada 12 Julai lepas, misalnya, hanyalah berpunca daripada insiden mencuri telefon bimbit tetapi menjadi viral kononnya melibatkan isu pergaduhan kaum. Bukan itu saja, penyebaran spekulasi liar dan berita palsu berkaitan pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 yang hilang sejak 8 Mac tahun lepas juga antara bukti penyebaran berita tidak sahih. Fitnah ini membuktikan ketirisan integriti ysng gsgsl dibezakan kebenaran dan kepalsuannya. lantaran itu, pengguna media sosial yang memiliki integriti yang tinggi seharusnya berupaya menapis dan menentusahkan setiap berita sebelum menyebarkannya di media massa. Mereka tidak akan sewenang-wenangnya menyebarkan berita yang palsu. Di pihak kerajaan, pelbagai usaha dilaksanakan.  Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia menggubal  Akta Komunikasi dan Multimedia  bagi menyekat berita yang tidak ada integriti.  Kempen-kempen integriti di kalangan pengguna media sosial dirancakkan dan seharusnya disambut baik oleh seluruh rakyat Malaysia.

Anak-anak bangsaku
Sebelum saya meninggalkan medan pidato in, saya dapat simpulkan betapa hari ini kita mampu melahirkan rakyat berintegriti yang bakal memacu kecemerlangan Malaysia andai institusi keluarga diperkasa, pendidikan integriti menjadi budaya serta media social diguna sebaiknya. Ayauhlah bangsaku, kita lakarkan potret kecemerlangan Malaysia, maka benarlah Rakyat Berintegriti, Malaysia Cemerlang.
Sekian, Terima Kasih.


Disediakan oleh : 
SHAHNUN ABDUL GHANI

Disampaikan oleh : 
MUHAMMAD AFIF NAZHAN BIN MOHD HASNI,
NAIB JOHAN PIDATO PIALA DI RAJA PERINGKAT KEBANGSAAN


TERIMA KASIH KERANA SUDI MENGUNJUNGI BLOG KELAB HOKI STAR.KAMI MENGALU-ALUKAN SEBARANG KOMEN ANDA

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...