Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

21 Apr 2016

TEKS PIDATO : RAKYAT BERINTEGRITI, NEGARA CEMERLANG

RAKYAT BERINTEGRITI, MALAYSIA CEMERLANG

Bimillahirrahmanirrahim,

Sewaktu kita masih kecil,  kita diberitahu oleh ibu bapa kita tentang fungsi tiga warna pada  lampu isyarat. Warna MERAH untuk berhenti, warna HIJAU untuk meneruskan perjalanan dan warna KUNING untuk sedia berhenti. Namun, selepas meningkat dewasa, doktrin yang telah dikoordinasikan semenjak kecil, ibarat masuk telinga kanan, keluar telinga kiri. Tatkala keseorangan dalam pemanduan, tanpa ada seseorang yang memandang ataupun pihak berkuasa melakukan sekatan, kita menghijaukan warna Merah dan kita juga menghijaukan juga warna kuning. Inilah secebis kisah tentang INTEGRITI.

Salam apresiasi buat  saudara pengerusi majlis, barisan panel kehakiman yang penuh berintegriti, dif-dif kehormat  yang disanjungi,  seterusnya  hadirin yang bervisi  dekat di hati.  Assalamualaikum w/b/t salam 1 Malaysia  buat anda semua.

RAKYAT BERINTEGRITI, MALAYSIA CEMERLANG begitulah mauduk pidato yang bakal saya persembahkan  buat  santapan minda warga dunia.

Menurut Mantan Perdana Menteri, Tun Abdullah Haji Ahmad Badawi, konsep Rakyat Berintegriti mencakupi perkara-perkara yang lebih besar dari isu rasuah semata-mata. Rakyat Berintegriti membawa maksud rakyat  yang memiliki nilai-nilai amanah, boleh dipercayai, jujur dan  sifat-sifat peribadi yang teguh. Maka, untuk menjadikan Malaysia Cemerlang, kualiti unggul yang digariskan menerusi konsep Rakyat berintegriti diperlukan bagi memacu kecemerlangan Malaysia.

Namun persoalannya, bagaimanakah kita dapat melahirkan Rakyat Berintegriti yang akan memacu kecemerlangan Malaysia ?

Maka hayatilah pragmatik yang pertama INSTITUSI KELUARGA DIPERKASA, INTEGRITI TERPELIHARA

Institusi  keluarga  merupakan institusi penting dalam masyarakat kita kerana asas segala asuhan  bermula daripada  keluarga.  Ibarat melentur buluh biarlah dari rebungnya. Sedari kecil, anak-anak perlu dididik dengan sifat-sifat peribadi yang teguh, dan ibu bapa juga seharusnya menjadi suri teladan terbaik buat anak-anak. Menurut Prof Syed Naquib Al Atas dalam bukunya Ar Risalah, mengatakan peranan institusi keluarga sangat utama dalam pembentukan masyarakat sejahtera. Statistik yang dikeluarkan oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menunjukkan setiap 15 minit, satu pasangan islam bercerai di Malaysia, setiap 5 hari, seorang bayi kecil dibuang tanpa rasa berdosa dan setiap dua  hari, 2 orang remaja kita lari dari rumah. Kegagalan integriti  diterapkan sedari awal menyebabkan institusi keluarga menjadi pincang, dan akhirnya Malaysia yang cemerlang terencat untuk dizahirkan.  Namun saya ingin berterima kasih  kepada  ibu bapa di hadapan saya yang menyahut kempen Rumahku Syurgaku, Baiti Jannati yang sentiasa menyemaisuburkan asas integriti dalam  kalangan ahli keluarga, berteraskan yang tua dihormati, yang muda disayangi. Lantaran itu, rakyat berintegriti yang ditunjangi oleh kekuatan institusi kekeluargaan dapat dilahirkan, akhirnya Malaysia Cemerlang di persada dunia.

Sidang hadirin bervisi

Pragmatik kedua PENDIDIKAN DIMANTAPKAN, INTEGRITI DIBUDAYAKAN

Sedari Awal Kalimah Iqra diturunkan oleh Pencipta adalah untuk menyeru seluruh umat manusia mencintai ilmu. Maka, seharusnya Institusi pendidikan menjadi tapak  untuk menanam asas integiriti dalam kalangan rakyat Malaysia. Kita sedar, institusi pendidikan merupakan institusi cukup dihormati dan dekat di hati. Namun kita disentak dengan beberapa isu integriti dalam bidang pendidikan, kes kebocoran soalan UPSR yang tidak sepatunya berlaku sehinggalah kisah  pelajar memukul guru yang berkorban mencurahkan  ilmu. Cukup sedih apabila melihat SEORANG  murabbi diperlakukan sedemian rupa. Namun, saya cukup yakin, itu hanya kes-kes terpencil kerana masih ramai dalam kalangan  putra-putri merdeka yang menjunjung falsafah rasmi padi, semakin berisi, semakin menunduk ke bumi. Usaha-suaha diperkasakan melalui sektor pendidikan untuk menyemaisuburkan integriti bukan sahaja dalam kalangan pelajar, malahan kepada murabbi.  Dari seawal Penyata Razak sehinggalan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia ,  pelbagai usaha dilaksanakan bagi melahirkan modal insan beringriti.  Pendidikan agama dan moral diwajibkan, pendidikan sivik dan  kewarganegaraan juga diperkasakan, kegiatan kokurikulum disulam dengan asas integriti yang kuat. Lantaran itu, lahirlah modal insan bermentaliti kelas pertama yang akan memacu kecemerlangan Malaysia.


Pragmatik ke tiga, MEDIA MASSA MAINKAN  PERANAN, AMALAN INTEGRITI DITINGKATKAN.  Menyedari betapa dunia hari ini dihujani dengan ledakan media sosial, kita tidak boleh mengatakan tidak kepada kehadiran teknologi ini. Dilaporkan bahawa kini terdapat lebih 500 juta pengguna facebook dan lebih 100 juta pengguna twitter di seluruh dunia, membuktikan media social merupakan satu ancaman jika tidak digunakan dengan cara yang betul. Insiden pergaduhan di Plaza Low Yat pada 12 Julai lepas, misalnya, hanyalah berpunca daripada insiden mencuri telefon bimbit tetapi menjadi viral kononnya melibatkan isu pergaduhan kaum. Bukan itu saja, penyebaran spekulasi liar dan berita palsu berkaitan pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 yang hilang sejak 8 Mac tahun lepas juga antara bukti penyebaran berita tidak sahih. Fitnah ini membuktikan ketirisan integriti ysng gsgsl dibezakan kebenaran dan kepalsuannya. lantaran itu, pengguna media sosial yang memiliki integriti yang tinggi seharusnya berupaya menapis dan menentusahkan setiap berita sebelum menyebarkannya di media massa. Mereka tidak akan sewenang-wenangnya menyebarkan berita yang palsu. Di pihak kerajaan, pelbagai usaha dilaksanakan.  Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia menggubal  Akta Komunikasi dan Multimedia  bagi menyekat berita yang tidak ada integriti.  Kempen-kempen integriti di kalangan pengguna media sosial dirancakkan dan seharusnya disambut baik oleh seluruh rakyat Malaysia.

Anak-anak bangsaku
Sebelum saya meninggalkan medan pidato in, saya dapat simpulkan betapa hari ini kita mampu melahirkan rakyat berintegriti yang bakal memacu kecemerlangan Malaysia andai institusi keluarga diperkasa, pendidikan integriti menjadi budaya serta media social diguna sebaiknya. Ayauhlah bangsaku, kita lakarkan potret kecemerlangan Malaysia, maka benarlah Rakyat Berintegriti, Malaysia Cemerlang.
Sekian, Terima Kasih.


Disediakan oleh : 
SHAHNUN ABDUL GHANI

Disampaikan oleh : 
MUHAMMAD AFIF NAZHAN BIN MOHD HASNI,
NAIB JOHAN PIDATO PIALA DI RAJA PERINGKAT KEBANGSAAN


TERIMA KASIH KERANA SUDI MENGUNJUNGI BLOG KELAB HOKI STAR.KAMI MENGALU-ALUKAN SEBARANG KOMEN ANDA

0 comments :

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...