Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

18 Nov 2013

PELAYARAN KDBM STAR 2013 : SATU CATATAN KENANGAN

Pelayaran KDBM STAR untuk musim 2013 kini telah sampai ke penghujungnya. Sekadar catatan kenangan pada kanvas perjuangan KDBM untuk tahun 2013 untuk dijadikan kenang-kenangan dan menguatkan tekad untuk terus berjaya di masa hadapan.

Tahun 2013 dimulakan dengan satu pertandingan iaitu Pertandingan Debat Persahabatan ADCE-MiG yang diadakan di bumi Seri Serdang. Dalam pertandingan ini, KDBM STAR telah mempertaruhkan Dinie, Syafiq Jebat dan Amirul untuk menggalas amanah membawa pulang piala kejuaraan. Alhamdulillah, STAR berjaya muncul sebagai pemenang sulung kejohanan yang pertama kali diadakan ini. Dalam perlawanan akhir, STAR berjaya menewaskan SM Sains Muzhafar Shah dengan ke dua-dua pasukan memperdebatkan usul " PBS Memenuhi Aspirasi Pendidikan Di Malaysia'. Dinie Zhafri bin Zainuddin dipilih sebagai pembahas terbaik perlawanan akhir. 


Perlawanan akhir yang dimenangi STAR dengan juri 7-0.


Ke dua-dua pasukan final bergambar kenangan selepas majlis penyampaian hadiah.

Perjuangan KDBM STAR diteruskan di peringkat Kinta Utara. Walaupun sudah jelas tercatat bahawa SBP tidak dibenarkan untuk bertanding dan mewakili daerah ke peringkat negeri , namun atas dasar semangat setiakawan STAR dibenarkan bertanding di peringkat daerah, walaupun tidak akan mewakili Kinta Utara jika memenangi  perlawanan. Alhamdulillah, STAR berjaya melangkah ke final.  Bertindak selaku pihak kerajaan, STAR dan Sekolah Izzudin Shah sebagai pembangkang   membahaskan usul "KECEMERLANGAN AKDEMIK MENJAMIN MASA DEPAN PELAJAR". Setelah berbahas hampir sejam setengah, akhirnya pihak panel juri memutuskan usul diterima dan STAR muncul pemenang. Bertambah manis apabila Dinie Zhafri diumumkan sebagai pembahas terbaik perlawanan akhir.


STAR bertemu SM Izzudin Shah di pentas final.

Menjelang bulan Jun, adalah saat yang dinanti-nantikan oleh setiap pembahas Sekolah Berasrama Penuh kerana HKSBP bajak berlangsung bagi merebut Piala Perdana Menteri diadakan. 2012, menyaksikan STAR tewas kepada Sekolah Seri Puteri di bumi sendiri. Mampukah kali ini kami melangkah ke  final. Perjuangan di bumi Sekolah Menengah Sains Selangor ini digalas oleh Amirul Rosli, Dinie Zhafri, Syafiq Jebat dan Ahmad Aiman Asmayatim. Perjalanan tetap berliku, ketika selangkah memisahkan STAR untuk ke final, kami dipertemukan dengan SM Sains Alam Shah (ASIS) di peringkat separuh akhir . Betul kata orang, kalau bukan rezeki, memang bukan rezeki. STAR akur di pentas separuh akhir  apabila tewas kepada ASIS  di peringkat separuh akhir. Hanya air mata menjadi saksi betapa kecewanya para pendebat dan penyokong melihat akhirnya ASIS dan SMAP Kajang ke pentas final. Apapun, kami telah mencuba sehabis baik dan pada  akhirnya, kuasa Allah yang menentukan.




Para membahas STAR kelihatan sugul selepas tewas di separuh akhir.


Kekecewaan sedikit terubat apabila Dinie Zhafri dipilih sebagai pembahas terbaik keseluruhan. 


Usai PPM 2013, ada satu lagi misi terakhir pembahas Tingkatan Lima apabila 5th MUSLEH International Student Debating Championship mengambil tempat dalam takwim debat sekolah-sekolah. Kali ini matlamat menebus kekecewaan PPM serta mempertahankan kejuaraan MUSLEH 2012 menjadi azimat. STAR menghantar dua pasukan iaitu pasukan utama diwakili Ahmad Aiman, Dinie dan Amirul manakala pasukan ke dua diwakili oleh Adib, Syafiq dan Muhaimin. Alhamdulillah, setelah berjuang selama lima hari akhirnya STAR berjaya sekali lagi mempertahankan kejuaraan Debat MUSLEH apabila berjaya menewakan Kolej Islam Sulatan Alam Shah (KISAS) di pentas akhir. Dalam perlawanan yang agak sengit, STAR bertindak sebagai kerajaan muncul juara menewaskan KISAS 4-3 sewaktu membahaskan usul  "Sektor Pendidikan Negara Sudah Mencapai Tahap Yang Membanggakan". Buat pertama kali Dinie gagal menjulang anugerah pembahas terbaik apabila dimenangi oleh Syahmi dari KISAS.


Juara ke tiga-tiga kategori Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan Bahasa Arab bergambar kenangan.


Pencapaain pasukan pelapis juga tidak menghampakan apabila layak ke suku akhir.

Sepetember 2013,  STAR berkelana pula ke bumi Klang untuk menyertai Pertandingan Debat Yayasan Selangor 2013. Kali ini misi mempertahankan kejuaraan 2012 agak perit kerana pembahas utama tingkatan empat Syafiq Jebat terpaksa memberi laluan kepada pertandingan kriket peringkat kebangsaan. Namun, perjuangan tetap diteruskan dan tugas kali ini digalas oleh Adib, Muhaimin, Arif Kamal dan Zahrul Izham. Alhamdulillah, walau tidak melangkah ke final dan muncul juara, namun pasukan ini berjaya juga sampai ke peringkat separuh akhir. Di peringkat separuh akhir, STAR ditewaskan oleh Kolej Tunku Kurshiah (TKC). Maka, piala yang dimenangi pada tahun 2012 telah berpindah ke bumi Enstek, Nilai. Apapun sebagai pelapis, satu pengalaman berharga berjaya ditempa oleh mereka. 


STAR tewas kepada TKC sewaktu membahaskan usul  
"Brain Drain: Malaysia Perlu Berkeras".

Penutup kepada takwim Debat Sekolah-sekolah 2013, STAR telah menyertai dua pertandingan di peringkat junior iaitu Pertandingan Debat Koperasi anjuran Kelab Debat SM Kebangsaan Seri Serdang dan Debat Piala Tun Razak anjuran Kelab Seni Orator Sekolah Dato' Abdul Razak.

Pertandingan Debat Koperasi (DEKO V) merupakan pertandingan yang dinanti-nantikan oleh para pendebat junior kerana di sinilah mereka berpeluang bersaing dalam padang yang sama. STAR dalam misi mempertahankan kejuaraan 2012, telah menghantar dua pasukan yang terdiri daripada STAR A diwakili oleh Aliff Hazim, Ilman Afif dan Zahrul Izham, manakala STAR B diwakili oleh Syameel Aiman, Haiqal dan Afif Nazhan. Malangnya pasukan yang diharapkan mampu mempertahankan kejuaraan 2012, telah tewas di peringkat pusingan ke-2 apabila STAR A tewas kepada ASIS manakala STAR B tewas kepada MOZAC. 


Mampukah mereka bangkit dalam PTR nanti ?

Akhirnya, kami berkelana ke bumi Sungai Gadut untuk menyertai Pertandingan Debat Piala Tun Razak 2013. Jika tahun 2012, STAR tersekat di peringkat separuh akhir. Moga-moga 2013, ada peningkatan dalam pertandingan ini. Tidak meletakkan harapan yang terlalu tinggi kerana STAR hanya menghantar pembahas tingkatan DUA sahaja sedangkan sekolah lain menghantar peserta tingkatan TIGA. Namun, kecil jangan disangka anak, besar usah kita panggil bapak. Akhirnya trio Haikal, Afif dan Syameel berjaya membuktikan betapa STAR tidak pernah ketandusan pelapis-pelapis muda. Walaupun tewas di pentas final, namun mereka telah berjaya memberikan saingan yang sengit kepada SM Sains Muzhafar Shah (MOZAC). Bertindak sebagai kerajaan, STAR dan MOZAC membahaskan usul "Wawasan 2020 : Kita Masih Lesu".  Akhirnya STAR akur tewas kepada pasukan yang lebih berpengalaman apabila tewas 3-4. Alhamdulillah, perjuangan mereka masih jauh dan berliku. Semoga ada sinar yang menanti di kemudian hari.


Penutup 2013 yang cemerlang. Tahniah Afif, Syameel dan Haiqal.

Di akhirnya , Alhamdulillah setinggi kesyukuran dizahirkan ke Hadrat Ilahi kerana memberi kekuatan kepada KDBM STAR untuk terus melangkah gagah menawan satu semi satu pertandingan yang dianjurkan. Dan yang paling bermakna apabila sekali lagi Kelab Debat bahasa Melayu STAR berjaya menggondol Anugerah Kelab / Persatuan Terbaik Tahun 2013.


Kejayaan-kejayaan KDBM hari ini tidak hadir dengan sendiri tanpa dokongan dan tunjuk ajar dari mereka yang menyayangi dan mencintai etos kebanggaan STAR iaitu perbahasan. Dedikasi coretan ini untuk Encik Shahnun bin Abdul Ghani, insan di belakang tabir yang selama ini sentiasa bersama di saat jatuh dan bangun KDBM semenjak tahun 2004 lagi. Buat pembahas-pembahas senior yang telah meninggalkan sekolah yang turut memberi tunjuk ajar, terima kasih kami titipkan.  Kepada  pembahas-pembahas yang bakal meninggalkan sekolah, Dinie, Ahmad, Fayyaz, Khairul Hafiz, Amirul dan Eyman Asyraf terima kasih kerana mewarnai KDBM dengan memoribilia kejayaan manis yang pastinya menjadi kebanggan kalian apabila meninggalkan STAR nanti.  Juga buat STAROBA Jaringan 11 yang saban tahun menyumbang kewangan untuk KDBM bergerak. 

Dan terakhirnya, buat pembahas-pembahas yang akan terus mewarnai KDBM pada musim-musim seterusnya, moga legasi kecemerlangan KDBM akan terus dipertahankan. Tiada apa yang lebih bahagia, apabila kita berjaya membahagiakan orang lain dengan kejayaan. 




















TERIMA KASIH KERANA SUDI MENGUNJUNGI BLOG KELAB HOKI STAR.KAMI MENGALU-ALUKAN SEBARANG KOMEN ANDA

0 comments :

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...