Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

17 Mar 2010

HARI KECEMERLANGAN SEKOLAH BERASRAMA PENUH 2010




Alhamdulillah, berkesempatan juga kami berkarya kali ini. Kali ini kami akan menceritakan mengenai perjalanan kami di HKSBP Zon Utara yang berlangsung di SMS Sultan Muhamad Jiwa, Kedah. Alhamdulillah, segalanya berjalan dengan lancar bagi kami pada sesi tahun ini. Tetapi, sedikit masalah bagi STAR yang diletakkan dalam kumpulan B bersama SMS Tuanku Syed Putra, SMS Kubang Pasu, SMS Kepala Batas, SMS Sultan Muhamad Jiwa, SBPI Kubang Pasu dan SMS Tun Syed Sheh Shahabudin kerana kami terpaksa berdebat sebanyak 4 kali pada hari Sabtu yang sangat memenatkan.

Perlawanan pertama menemukan kami dengan SMS Kubang Pasu yang bertindak sebagai pembangkang bagi usul Filem Malaysia Semakin Matang. Sedikit rasa gubra timbul apabila bangkit pembangkang ke-3 yang merupakan bekas pendebat SMK Seri Serdang(dulu berkeinginan untuk ke STAR). Alhamdulillah, usul dimenangi kami dengan pembahas terbaik diberikan kepada Muhammad Haziq b Janudin. Perlawanan kedua yang berlangsung pada petang Jumaat agak mengantukkan kami. Perlawanan menentang SMS Kepala Batas yang bertindak sebagai kerajaan yang mencadangkan usul Sekolah Sukan Meningkatkan Kualiti Sukan Negara. Kami yang bertindak sebagai pembangkang akhirnya berjaya menolak usul dengan pembahas terbaik diberikan kepada Muhammad Haziq b Janudin. Pada malamnya, ketiga-tiga kami menyaksikan perlawanan SBPI Kubang Pasu menentang SMS Tuanku Syed Putra yang menyaksikan mereka berdebat atas tema alam sekitar. Persembahan yang sangat baik dari perwakilan pembangkang iaitu pasukan SBPI Kubang Pasu.

Pada hari Sabtu, awal-awal pagi lagi saudara Haziq mengalami masalah apabila beliau kehilangan tag makan. Kebulur juga nampaknya dia sebelum perlawanan menentang SMS Tuanku Syed Putra. Usul Kesedaran Sosial Remaja Semakin Meningkat dibincangkan dengan menarik. Komentar yang diberikan hakim membuatkan Umi sedikit gementar apabila usul ingin diumumkan tetapi usul memihak kepada kami, pembangkang dengan pembahas terbaik diberikan kepada Muhammad Haziq b Janudin. Masalah dapat dikesan Umi dalam konsep kami dan membuatkan kami sedikit berjaga-jaga akan sesi seterusnya. Kami menentang tuan rumah kali ini. Usul yang diumumkan pada jam 10.30 pagi sedikit menggugat waktu untuk kami melakukan sesi kritikan dalam pasukan. Usulnya, Pemberian Subsidi Perlu Dihapuskan menuntut kami untuk menjadi pembangkang yang baik. Agak kelakar, tetapi saudara Haziq tidak dapat melakukan humour dalam perdebatan. Sebaliknya, saudara Azri dan Faizs pula yang meningkat naik prestasinya. Usul ditolak dan pembahas terbaik diberikan kepada Muhamad Faizs b Omar.

Pada petangnya, perlawanan paling penting dalam kumpulan B apabila menemukan kami dengan SBPI Kubang Pasu. Usul pada kami sangat berat sebelah iaitu Negara Memerlukan Pemimpin Muda. Mereka yang bertindak sebagai kerajaan membentangkan usul dengan baik manakala kami membawa konsep perdebatan universiti dengan menafikan usul dengan mematikan konsep kerajaan. Hujan lebat yang mengganggu penyampaian saudara Azri sedikit menakutkan kami, takut hakim tak dengar. Saudara Haziq pula belum-belum sudah menangis sewaktu keputusan ingin diumumkan. Alhamdulillah, kemenangan berpihak kepada kami tetapi pembahas terbaik diberikan kepada saudara Muhammad Rosman b Razif dari SBPI Kubang Pasu. Pada malamnya pula, pertemuan menentang SMS Tun Syed Sheh Shahabudin sangat mengantukkan kerana tidak pernah kami berdebat sampai 4 kali dalam sehari. Usulnya, Penganugerahan SBT Meningkatkan Kualiti Pendidikan Negara menuntut kami untuk menjadi perwakilan kerajaan yang baik. Sedikit gurauan sinis yang dijelmakan saudara Azri membuatkan saudara Haziq mempersembahkan penyampaian yang membuatkan orang tidak kering gusi. Alhamdulillah, perlawanan akhir dalam kumpulan ini berpihak kepada kami dengan pembahas terbaik diberikan kepada Muhammad Haziq b Janudin dan melayakkan kami ke SMS Pasir Puteh.

Pertemuan final dengan MCKK agak mendebarkan. Yalah, pasukan mereka pastinya menjalani transformasi besar. Memang benar perkara itu dan kami yang bertindak sebagai kerajaan agak sukar membentangkan usul. Faktor angin yang mengganggu kami juga membuatkan saudara Haziq tidak dapat melawak. Mungkin tiada rezeki, kemenangan berpihak kepada mereka dan setahu kami, kami kalah juri 3-2. Tidak apa. Pada kami sudah layak ke SMS Pasir Puteh cukup membuatkan hati ini gembira. Sedikit rasa kecewa mungkin, tetapi tidaklah seteruk rasa sedih pasukan-pasukan yang tidak layak ke peringkat kebangsaan.

Piala Perdana Menteri pada kali menjanjikan perlawanan yang sengit kerana hanya yang terbaik layak ke peringkat ini. Pasukan yang melayakkan diri ke peringkat kebangsaan adalah yang disebut:

  1. Sekolah Tuanku Abdul Rahman
  2. Kolej Melayu Kuala Kangsar
  3. Sekolah Menengah Agama Persekutuan Kajang
  4. Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Gombak
  5. Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Temerloh
  6. Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Kuantan
  7. Sekolah Dato' Abdul Razak
  8. Kolej Tunku Khurshiah
  9. Sekolah Menengah Sains Pasir Puteh (tuan rumah)
  10. (Pasukan S&S)
  11. (Pasukan S&S)
Kali ini kami sedikit terkejut dengan keputusan di Zon Tengah apabila Sekolah Seri Puteri tidak berjaya melayakkan diri ke peringkat kebangsaan. Wallahualam, hanya Allah yang mengetahui perkara tersebut. Akhir kata, doakan kejayan kami di Kelantan!

(gambar akan dimasukkan nanti)

TERIMA KASIH KERANA SUDI MENGUNJUNGI BLOG KELAB HOKI STAR.KAMI MENGALU-ALUKAN SEBARANG KOMEN ANDA

1 comments :

Hiz'da said...

tahniah utk pasukan debat STAR . harap paman,azri,sayuqkc dn adik2 laen sntiasa usaha sehingga titisan terakhir.

p/s : link kan blog aku kt blog nih ..:P

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...