Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

13 Feb 2010

Misteri etnik: siapa yang peduli????

ASSALAMUULAIKUM DAN SELAMAT TAHUN BARU CINA SAYA UCAPKAN, PERTAMA SEKALI MUNGKIN ADA YANG SANGSI MENGAPA SAYA BERBICARA TENTANG SESUATU YANG KITA SEMUA TIDAK PERNAH FIKIRKAN.....SENGAJA SAYA INGIN MEMBERI RENUNGAN BUAT SEMUA TENTANG BETAPA PENTINGNYA HIDUP KITA ORANG BANDAR UNTUK MENGHARGAI KAUM YANG DITELAN ARUS MODENISASI....MAKA RENUNG-RENUNGKANLAH BINGKISAN CERITERA INI...

Penjaga tasik

Etnik Berawan sudah menguasai Loagan Bunut sejak 300 tahun lalu

Taman Negara Loagan Bunut, kira-kira 120 kilometer dari bandaraya Miri, Sarawak, aktiviti harian di sekitar tasik semula jadi terbesar di Sarawak itu hanya dilakukan satu kaum pribumi iaitu Berawan.

Ia menimbulkan persoalan kenapa wujudnya dominasi, sedangkan tasik seluas 650 hektar persegi di hutan rizab utara Sarawak sebenarnya lebih daripada cukup bagi menampung ribuan penduduk sekitarnya untuk menangkap ikan atau aktiviti lain termasuk pelancongan.

Itulah sebenarnya keistimewaan kaum Berawan, yang menetap di situ sejak lebih 300 tahun dulu dan merekalah yang menamakan tasik itu sebagai Loagan Bunut bermaksud ‘tasik’ serta ‘bekal makanan’.

Mereka mewarisi tradisi kemahiran hidup di tepi sungai, menangkap ikan menggunakan kaedah tradisional termasuk yang paling popular ialah teknik ‘selambau’. Selambau melambangkan identiti suku Berawan dan digunakan ketika air surut kerana tasik serta anak sungai sekitarnya termasuk Sungai Teru kerap kering sepanjang musim kemarau antara Jun hingga Ogos setiap tahun.

Memang caranya unik tetapi cukup berkesan apabila digunakan. Selambau dibina menggunakan tiga batang kayu besar dianggarkan sepanjang tiga meter yang diikat membentuk segi tiga. Bahagian depan segi tiga itu akan dipasang jaring dan berfungsi seperti kapal korek dengan cara membenam jaring ke dalam air selama 10 minit sebelum menarik bahagian hujung segi tiga untuk mengangkat jaring.

Ikan yang masuk ke dalam jaring itu akan terperangkap, dikutip dan dikumpul di dalam karungan (kurungan) berbentuk empat segi diperbuat daripada buluh dan papan. Hasil tangkapan akan dibiarkan hidup di dalam karungan selama beberapa hari sebelum dijual.

Menariknya, setiap selambau dibina di atas rumah rakit yang turut menempatkan rumah rehat nelayan. Setiap kali musim menangkap ikan, lelaki Berawan akan tinggal di situ selama beberapa hari untuk menangkap ikan sehinggalah penuh satu karungan.

Rumah rehat kecil itu mempunyai ruang dapur dan tempat tidur, cukup untuk memuatkan tiga lelaki dewasa pada satu masa. Tasik itu diakui memang kaya dengan pelbagai jenis ikan air tawar yang setakat ini disahkan mempunyai 21 spesies termasuk ikan paling popular iaitu Biawan (Helostoma Temminckii) yang menjadi makanan harian mereka.

Disebabkan Berawan adalah masyarakat pribumi yang sudah lama menetap di sekitar tasik, mereka diberi hak untuk menangkap ikan, memburu dan mengambil hasil hutan di dalam kawasan taman negara tetapi untuk kegunaan sendiri.

Mereka mendapat hak eksklusif dan ini bermakna kaum lain tidak berhak, tidak boleh campur tangan atau sesekali mencari rezeki di situ. Bahkan kawasan tasik yang mempunyai anak sungai juga diagihkan mengikut kawasan antara sesama mereka yang tinggal di rumah panjang di kawasan berlainan.

Dalam erti kata lain, mereka adalah ‘penjaga’ Loagan Bunut yang akan kekal selamanya dan itu diakui Ketua Rumah Panjang Long Bunut, Meran Surang, 67, dan Ketua Rumah Panjang Long Teru, Kajan Sigeh, 70.

Menyingkap keistimewaan kaum Berawan yang diberi hak eksklusif di Taman Negara, Meran berkata sumber asli di hutan dan tasik di situ adalah nyawa mereka yang tidak boleh dilucutkan. “Kami dibenarkan berburu, membalak tetapi dilarang menebang pokok tua. Hidup di dalam kawasan Taman Negara adalah tradisi keturunan kami, tetapi kami tidak menolak pembangunan,” katanya.

Dua penempatan utama kaum Berawan di sekitar tasik Loagan Bunut ialah Rumah Panjang Long Bunut dan Rumah Panjang Long Teru di utara dan selatan tasik yang biasanya dihubungkan melalui jalan air dengan jarak sejam perjalanan menggunakan bot meredah tasik. Kini, wujud laluan darat menghubungkan dua kawasan itu menggunakan kenderaan pacuan empat roda tetapi sudah hampir setahun tidak boleh digunakan selepas terputus akibat banjir besar.

Secara fizikalnya, Berawan hampir sama dengan kaum lain, cuma dibezakan melalui pertuturan bahasa ibunda tetapi mereka berbahasa Melayu jika berbual antara suku lain. Sekali imbas, Berawan tidak banyak bezanya dengan Kayan dan Kenyah yang berkulit cerah dan kulit langsat.

Perubahan zaman menyaksikan ramai anak muda Berawan memilih untuk berhijrah, bekerja di luar kawasan dan tidak terlalu bergantung kepada cara hidup tradisi. Bagi yang tinggal di rumah panjang, mereka bergantung kepada pendapatan hasil sumber asli kerana sebahagian besar kaum Berawan hidup sebagai nelayan tasik selain bertani untuk sara hidup dengan menanam padi huma, berkebun sawit serta berburu.

Kaum Berawan juga tinggal di rumah panjang, cuma bezanya rumah mereka tidak digunakan di bahagian tingkat bawah berbanding kaum Kayan yang menggunakan kedua-dua tingkat.

Bahkan, reka bentuk rumah panjang itu juga berubah mengikut arus permodenan, mempunyai anak tangga berlantai papan berbanding cara tradisi menggunakan kayu sebatang yang ditakuk sebagai tempat pemijak.

Asalnya, penempatan awal kaum terletak di Long Bunut ketika zaman pemerintahan kesultanan Melayu Brunei dan era kerajaan British di Sarawak sebelum berpindah ke Long Teru dan sekitarnya. Namun, kebakaran besar pada 12 Disember 1999 memusnahkan Rumah Panjang Long Teru.

Sebahagian daripada mereka kembali semula ke Long Bunut manakala bakinya terus kekal di Long Teru dengan membina penempatan baru di tempat sama.

“Mereka adalah kaum yang sentiasa berdaya usaha. Ada kaum lain mengambil masa bertahun mengikut arus pembangunan, permodenan tetapi Berawan bergerak pantas. Mereka memberikan peluang sepenuhnya kepada anak-anak untuk berjaya dalam pendidikan,” kata Pensyarah Universiti Curtin Miri, Sarawak, Darshan Singh.





TERIMA KASIH KERANA SUDI MENGUNJUNGI BLOG KELAB HOKI STAR.KAMI MENGALU-ALUKAN SEBARANG KOMEN ANDA

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...