Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

13 Mar 2013

UIAM JULANG PIALA DEBAT PERDANA INTEGRITI 2013


Selepas lapan tahun, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) kembali menjuarai Debat Perdana Integriti Antara Institusi Pengajian Tinggi (IPT) 2013 dengan menewaskan Universiti Teknologi Mara (UiTM) di Dewan Tunku Ibrahim Ismail, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) di sini hari ini.

Pasukan UIAM yang bertindak sebagai pembangkang dalam pembentangan Pembudayaan Integriti Bermula Daripada Pemimpin dibarisi Abdul Muiz Mustafa, 22, Fawza Sabila Faudzi, 22, Nur Ezzah Abdullah, 21, dan Muhammad Anas Shafie, 20.

Lebih mengharumkan nama UIAM, gaya bahasa dan persembahan Abdul Muiz Mustafa menjadikannya sebagai pendebat terbaik antara IPT.Menurutnya, kejayaan yang diperoleh itu adalah berkat usaha gigih mereka sekumpulan selama hampir sebulan sebelum menghadapi pusingan akhir.

"Kali terakhir UIAM menjuarai Debat Perdana Integriti ialah pada 2005, akhirnya kami dapat kembali di atas pentas sebagai juara. Seingat saya, kali terakhir itu adalah kali pertama Debat Perdana Integriti diadakan dan saya berharap sangat selepas ini, pelajar yang mewakili UIAM dapat mengekalkan kejuaraan ini.

"Bagi saya pendorong dan kekuatan pasukan kami ialah apabila kami jadikan pihak lawan yang menang pada pusingan awal sebagai perangsang untuk bekerja lebih baik," jelas pelajar tahun kedua jurusan Ekonomi, Kuliyyah Ekonomi dan Sains Pengurusan UIAM itu.

Kemenangan itu membolehkan UIAM membawa pulang RM6,000, sebuah Netbook Asus setiap seorang, piala pusingan Debat Perdana Integriti, piala iringan, piala individu berserta sijil penyertaan, sementara Abdul Muiz menerima RM1,000 dan piala pendebat terbaik.

Selaku naib johan, pasukan UiTM yang diwakili Mohd. Nor Sadiq Mohd. Yusof, 22, Tengku Izwan Fareed Tengku Ismail, 21, Adzlan Qushairi Jamaluddin, 20, dan Mohd. Haziq Jamaluddin, 20, menerima hadiah RM4,000, piala iringan dan sijil penyertaan.

Debat Perdana Integriti Antara IPT 2013 melibatkan 96 pendebat dari 24 IPT dengan menggunakan format perbahasan ala Parlimen Malaysia dengan tema 'Resmi Rakyat Menjulang Integriti' dan diadili 70 orang hakim dari pelbagai latar belakang.

Penganjuran program itu adalah hasil usaha antara UTHM, Institut Integriti Malaysia (IIM) dan Majlis Debat Universiti-Universiti Malaysia (Madum).







TERIMA KASIH KERANA SUDI MENGUNJUNGI BLOG KELAB HOKI STAR.KAMI MENGALU-ALUKAN SEBARANG KOMEN ANDA

0 comments :

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...