Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

11 Oct 2012

UIAM, UiTM JOHAN DEBAT PIALA PERDANA MENTERI 2012







Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) muncul juara Pertandingan Debat Piala Perdana Menteri 2012 peringkat akhir yang berlangsung di Universiti Malaya (UM) di sini semalam.
UIAM menjuarai kategori Bahasa Melayu sementara UiTM pula dalam kategori Bahasa Inggeris.
Pendebat UIAM yang bertindak sebagai pembangkang dibarisi oleh Abdul Muiz Mustafa, Fawza Sabila Fauzi, Muhamad Khairulanam Zulkeply dan Zulaikha Aini Mohamed Khair Johari berjaya membawa pulang wang tunai RM25,000, piala pusingan, piala iringan dan sijil penyertaan.
Hadiah yang sama turut diterima oleh pendebat UiTM yang diwakili oleh Maizura Mokhsein, Mohd. Syafiq Ahmed Bazari, Noor Atiqah Mohd. Zaki dan Mohd. Mifzal Mohd. Murshidi Kieron.
Naib juara kategori Bahasa Melayu ialah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan UIAM bagi kategori Bahasa Inggeris.
Masing-masing membawa pulang wang tunai RM15,000, piala iringan dan sijil penyertaan.
Pertandingan itu juga menyaksikan pendebat terbaik bagi kategori Bahasa Melayu dirangkul oleh Abdul Muiz manakala Maizura Mokhsein muncul pendebat terbaik kategori Bahasa Inggeris.
Kedua-duanya membawa pulang wang tunai RM2,000 dan piala individu.
Menurut Abdul Muiz, 21, kejayaan yang diperoleh itu berkat usaha gigih mereka selama dua minggu sebelum menghadapi pusingan akhir itu.
"Kejayaan ini juga didorong oleh kerjasama sebagai satu pasukan," ujar pelajar tahun pertama jurusan Ekonomi di Kuliyyah Ekonomi dan Sains Pengurusan UIAM itu.
Pertandingan akhir anjuran Yayasan Gerakan Kesederhanaan Global dan MyHarapan akhir itu me nyaksikan perdebatan UIAM dan UKM mengenai usul yang bertajuk 'Dewan ini percaya bahawa tukul dan perisai kekerasan perlu untuk melindungi kesederhanaan'.
Sementara itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika berucap pada majlis penutup pertandingan debat itu berkata, suara golongan mahasiswa adalah penting yang perlu didengari oleh semua tetapi ia perlu berdasarkan kebenaran dan realiti.
Beliau berkata, pandangan mahasiswa dalam usaha menggalakkan keterbukaan berfikir perlu berdasarkan fakta dan kebenaran dan bukan retorik yang tidak berpijak di bumi nyata.
"Kita inginkan mahasiswa kita dahagakan pada ilmu dan mencari kebenaran serta melontarkan kebenaran meskipun ia adalah berbeza daripada kerajaan," katanya.




TERIMA KASIH KERANA SUDI MENGUNJUNGI BLOG KELAB HOKI STAR.KAMI MENGALU-ALUKAN SEBARANG KOMEN ANDA

0 comments :

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...