Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

30 Sept 2012

KERAJAAN SELANGOR SOKONG JADIKAN DEBAT SEBAGAI BUDAYA


KLANG 18 SEPT : Bagi melahirkan lebih ramai pelajar yang berkemampuan dan berdisplin tinggi Kerajaan Negeri Selangor menyokong penuh pertandingan debat dan pidato yang dianjurkan di peringkat sekolah lagi.
Exco Pendidikan , Pendidikan Tinggi dan Modal Insan, Dr Halimah Ali berkata demikian dalam ucapan penutup Pertandingan Debat dan Pidato Piala Pengurus Besar Yayasan Selangor di dewan Bestari Asrama Yayasan Selangor di sini.

Katanya, pertandingan debat dan pidato anjuran Yayasan Selangor memasuki tahun keenam itu jelas berjaya kerana ia menarik penyertaan banyak sekolah berasrama penuh dan menengah agama dari sekolah luar Selangor.
“Ia adalah antara program penting dalam pendidikan ke arah melahirkan pelajar yang punya kemampuan dan disiplin diri ke arah menjadi pemimpin yang petah berbicara pada masa depan.
“Ia adalah medan awal bagi pelajar semua yang akan membentuk jati diri berkualiti serta memajukan Malaysia dengan kualiti membanggakan,” katanya yang juga menjelaskan Kerajaan Negeri sentiasa memberi sokongan terhadap pertandingan seperti itu demi membudayakannya.
Pertandingan debat dan pidato Piala Pengurus Besar Yayasan Selangor bermula pada 2003 dengan penglibatan sekolah menengah dan sekolah berasrama penuh di sekitar Lembah Klang sebagai porgram dwi tahunan.
Bagaimanapun bermula pada 2009 pertandingan itu diperluaskan kepada sekolah di luar Selangor dan bermula tahun ini ia dipertandingkan sebagai program tahunan.
Dalam pertandingan kali ini pasukan debat Sekolah Tuanku Abdul Rahman (Star) dari Ipoh, Perak muncul juara walau pertama kali menyertainya.
Kejayaan itu juga tambah manis apabila Dini Zafri Zainuddin, 16, dari Star muncul Pembahas Terbaik dalam pertandingan akhir bertajuk “Penghayatan Kemerdekaan Semakin Pudar” yang menyaksikan pasukan itu bertindak selaku pembangkang menewaskan Kolej Islam Sultan Alam Shah (Kisas) Selangor sebagai kerajaan.
Selain Dini Zafri, Star diwakili Ahmad Aiman Asmayatim, 16; Muhammad Amizul Rosli, 16, dan Fayyaz Imran Mohd Setia, 16 yang berjaya membawa pulang Piala Pusingan Pengurus Besar Yayasan Selangor berserta sijil dan wang tunai RM1,000.
“Kejayaan ini penuh makna kerana kami berjaya menjuarainya buat kali pertama kerana sebelum ini Star hanya muncul naib juara pada 2009. Ia kejayaan bersama kerana tanpa kerjasama semua tak mungkin kami akan berjaya.
“Cabaran dalam saingan akhir dari Kisas dan pasukan lain di sepanjang pertandingan ini juga begitu hebat yang menyebabkan kami perlu bekerja keras dalam menyiapkan diri dengan fakta dan informasi lengkap,” kata Dini Zafri.
Pertandingan tersebut berlangsung dari 15 hingga 17 September dengan pertandingan debat melibatkan 28 sekolah manakala pidato seramai 16 pelajar dari seluruh negara.
Pemidato Terbaik, Wan Muhammad Hanif Wan Abd Hamid, 17, pelajar Sekolah Sultan Alam Shah, Putrajaya berkata kejayaannya berkata sokongan dari semua pihak iaitu guru-guru dan ibu bapanya yang tidak putus memberi semangat supaya dia terus berusaha dengan tekun.

“Biarpun persiapan dalam masa singkat tetapi dengan ketekunan dan kesabaran saya dapat menyiapkan diri dengan baik dan berpidato dengan penuh yakin mengikut kemampuan diri.
“Saya harap Yayasan Selangor akan meneruskan pertandingan ini pada masa depan kerana ia pentas terbaik bagi melahirkan pelajar yang berkualiti dan berkeyakinan,” katanya yang meraih piala dan wang tunai RM300 dalam pertandingan pidato bertajuk “Tunku Abdul Rahman Bapa Kemerdekaan”.

SUMBER : SELANGORKU





TERIMA KASIH KERANA SUDI MENGUNJUNGI BLOG KELAB HOKI STAR.KAMI MENGALU-ALUKAN SEBARANG KOMEN ANDA

0 comments :

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...