Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

18 Nov 2011

UiTM, USIM JOHAN DEBAT PIALA PERDANA MENTERI IPT 2011


Universiti Teknologi Mara (UiTM) muncul juara kategori Bahasa Inggeris Debat Piala Perdana Menteri antara Institusi Pengajian Tinggi (IPT) Malaysia 2011 di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di sini Selasa.
UiTM, selaku pencadang, menewaskan UIAM dalam debat peringkat akhir yang membahaskan “Pemberian subsidi kepada semua pelajar sekolah dari semua sekolah kebangsaan dan swasta”.
UiTM, yang diwakili Mohd Syafiq Ahmed Bazari, Maizura Mokhsein dan Mohd Aerie Rashmond Rahman, membawa pulang wang tunai RM25,000, piala pusingan, piala iringan, piala individu dan sijil penyertaan daripada Menteri di Jabatan Perdana Menteri Senator Datuk Idris Jala.
Debat bertemakan ‘Generasi Muda Untuk Transformasi’ turut menyaksikan Mohd Syafiq Ahmed Bazari dari UiTM dinobatkan sebagai Pendebat Terbaik dan Pendebat Terbaik Keseluruhan yang membawa pulang wang tunai bernilai RM2,000 serta piala individu.
UIAM, yang diwakili Senad Hadrovic, Arinah Najwa Ahmad Said dan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, pula membawa pulang wang tunai RM15,000, piala iringan, piala individu dan sijil penyertaan.
Sebanyak 19 institusi pengajian tinggi awam dan swasta menyertai pertandingan kali pertama itu anjuran MyHarapan, sebuah yayasan amanah belia, dengan kerjasama Kementerian Pengajian Tinggi dan UIAM dan dinaungi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
USIM Juara Debat Bahasa Melayu Piala Perdana Menteri
Pendebat USIM yang terdiri daripada Ummu Umairah Azahari, Mohd. Ikhwan Mohd Rosseli, Mohammad Shah Izad Saleh dan Mohammad Irhamuddin Ibrahim telah berjaya membawa pulang wang tunai RM25,000, piala dan sijil penyertaan.
Manakala naib juara Kategori Bahasa Melayu ialah UiTM dan UIAM bagi Kategori Bahasa Inggeris. Masing-masing membawa pulang wang tunai RM15,000, piala dan sijil penyertaan.
Pertandingan itu juga menyaksikan pendebat USIM serta UiTM, Mohd. Ikhwan dan Mohd. Syafiq dipilih sebagai pendebat terbaik yang melayakkan mereka membawa pulang RM2,000.
Majlis penyampaian hadiah disempurnakan oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mewakili Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Ketua pendebat UiTM, Maizura, 21, berkata, kejayaan yang diperoleh pasukannya adalah disebabkan mereka sering menganggap perdebatan sebagai gaya hidup dan bukannya aktiviti kokurikulum.
“Oleh itu, setiap pertandingan yang kami sertai akan sentiasa ada peningkatan,” katanya ketika ditemui selepas majlis itu di sini, hari ini.
Debat PPM yang pertama kali dianjurkan disertai 44 institusi pengajian tinggi. Debat ini berlangsung selama lima hari bermula 20 Oktober lalu.
Sebelum ini, PPM hanya diadakan pada peringkat Sekolah Berasrama Penuh (SBP) sejak 1974. PPM 2011 adalah anjuran MyHarapan dengan kerjasama Kementerian Pengajian Tinggi dan UIAM.
SUMBER : ILLUSTRASIAKU


TERIMA KASIH KERANA SUDI MENGUNJUNGI BLOG KELAB HOKI STAR.KAMI MENGALU-ALUKAN SEBARANG KOMEN ANDA

0 comments :

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...