Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

22 Feb 2012

UNIVERSITI MALAYA JUARA DEBAT DIRAJA


Pasukan debat Universiti Malaya (UM) membuktikan kejaguhan mereka apabila menjuarai kategori Bahasa Melayu Utama dalam Pertandingan Debat Diraja 2012.

UM yang dibarisi Mohd. Azzairi Roslan, Chan Keng Fai, Mohd. Firdaus Abdullah dan Mohd. Asri Abdul Jani, kesemuanya penuntut jurusan undang-undang menewaskan pasukan tuan rumah, Universiti Sains Malaysia (USM) dalam pertandingan akhir yang berlangsung di Dewan Budaya, USM di sini malam tadi.

Dalam pertandingan akhir itu, UM yang bertindak sebagai barisan pembangkang dalam debat bertajuk Dewan Ini Mencadangkan Ahli Majlis Kerajaan Tempatan Dipilih Melalui Pilihan Raya turut menyapu gelaran Pendebat Terbaik menerusi pendebat ketiganya, Mohd. Firdaus.

Menurut Mohd. Firdaus, kemenangan tersebut cukup bermakna selepas tiga tahun mereka tidak pernah melepasi peringkat suku akhir.

"Kami terkejut dengan keputusan ini kerana menjangkakan saingan sengit daripada pendebat tuan rumah, namun bersyukur kerana berjaya menyampaikan hujah dengan baik.

"Ini merupakan kali terakhir kami bertanding sebagai rakan sepasukan kerana selepas ini ada yang akan menamatkan pengajian," katanya pada sidang akhbar selepas pertandingan.

Mereka menerima hadiah wang tunai RM5,000, piala iringan dan sijil penyertaan yang disampaikan oleh Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah.

Turut hadir Pemangku Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal dan Pembangunan Pelajar USM), Prof. Adnan Hussein.

Selaku pendebat terbaik, Mohd. Firdaus menerima hadiah tambahan RM1,500.

Sementara itu, Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang diwakili Mohd. Shafiq Ahmed Bazari, Maizura Mokhsein, Aina Syazwani Salleh dan Esmail Ebrahim Al Mokhtarn turut menyerlah apabila mengungguli kategori Bahasa Inggeris Utama selepas menewaskan pasukan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Mohd. Syafiq turut dinobatkan sebagai Pendebat Terbaik.

Mohd. Syafiq berkata, selepas ini mereka akan menumpukan perhatian untuk bersaing dalam pertandingan debat universiti peringkat dunia yang akan berlangsung di Jerman.

"Kami menyasarkan untuk memasuki kelompok 32 pasukan terbaik di Jerman nanti. Sebelum ini pencapaian terbaik kami adalah pada tangga ke-37," katanya.

UiTM turut mencatat kemenangan berganda apabila pendebat mudanya memenangi kategori bahasa Inggeris Muda dengan sekali lagi menewaskan UIAM.

Begitupun, UIAM tidak pulang dengan tangan kosong apabila menjuarai kategori debat bahasa Arab menewaskan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

Sementara itu, Universiti Malaysia Pahang (UMP) turut mencipta kejutan apabila menewaskan pasukan pilihan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dalam kategori Bahasa Melayu Muda.

- Utusan

TERIMA KASIH KERANA SUDI MENGUNJUNGI BLOG KELAB HOKI STAR.KAMI MENGALU-ALUKAN SEBARANG KOMEN ANDA

0 comments :

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...