Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

17 Aug 2011

DEDIKASI BUAT PUAN NORIDAH BTE HAJI RAMLAN





Assalamualaikum WBT dan selamat meneruskan ibadat puasa di bulan Ramadhan. Alhamdulillah, berita baik yang ingin dikongsikan buat semua Keluarga Debat Bahasa Melayu STAR Ipoh, ialah Puan Noridah Binti Haji Ramlan, iaitu jurulatih debat Bahasa Melayu STAR telahpun dinaikkan pangkat daripada jawatan Guru Kanan Bahasa STAR kepada jawatan Penolong Kanan Kokurikulum Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Gopeng (i-Gop). Tahniah sekali lagi dari kami seluruh warga KDBM STAR Ipoh.

Izinkan saya untuk berkongsi rasa dan bicara buat semua. Ada dua situasi sebenarnya ingin saya nyatakan. Pertama, sudah tentu kami Warga KDBM amat berbangga kerana Puan Noridah telah berjaya berada selangkah ke hadapan dalam bidang pentadbiran, kerana bukan senang untuk dipilih menjadi pentadbir. Sudah tentu latar belakang, kebolehan dan kemampuan serta  pengalaman menjadi elemen utama pemilihan ini dan saya tidak mempunyai sedikitpun perasaan ragu tentang kemampuan beliau untuk memikul amanah ini. Sepanjang mengenali beliau, melihatkan kepada komitmen dan kesungguhan sememangnya beliau merupakan calon yang paling layak. Namun, sebagai rakan sekerja yang telah hampir sembilan tahun bergelumang bersama-sama membangunkan arena bahas STAR, hati sedikit tersentuh dan sebak atas kehilangan seorang sifu, kakak dan guru yang banyak menunjuk ajar saya dalam arena perbahasan mahupun kehidupan.

Masih teringat di tahun-tahun awal saya mula menyertai keluarga ini. Dari zaman Khalis, Chor, trio Farid, Harinn dan Syazwan. Kemudiannya diteruskan oleh Siraj, Bapak, Ikhwan pada tahun berikutnya. Kejayaan oleh Paman, Acap, Azri, Faizs sentiasa mekar meniti bibir. Dan kemuncaknya kemunculan trio Uthman, Quchai,  Amirul dan Amir Syafiq yang akhirnya menoktahkan kejayaan bermakna buat Puan Noridah. Dan Alhamdulillah, kita masih memiliki nama-nama yang memiliki potensi seperti Wan Hafizan, Dhinie, Aiman, Muhaimin. Syafiq dan ramai lagi. Bukan sehari dua usaha digembeling bagi mengeluarkan 'potensi' yang ada dalam diri mereka sehingga  menjadi kebanggaan KDBM khasnya dan sekolah amnya.

Sudah banyak jasa yang telah dicurahkan, banyak benar budi yang dihulurkannya. Tanyalah kepada anak-anak yang telah saya sebutkan nama di atas. Sudah tentu tidak ada yang akan mmapu menafikannya. Sebagai pengikut dan murid yang setia, saya mulai mengikuti perjalanan bahas KDBM pada tahun 2004 dengan trio pertama pada waktu tersebut iaitu Adam, Shidot dan Meor. Dan saya tidak menoleh lagi selepas itu dan tidak pernah tanpa gagal untuk saya menjadi pembantu yang setia menemani ke mana-mana kejohanan yang disertai. Dari PPM zon utara, kebangsaan, hinggalah ke UIA dan berkelana seketika ke Bangi bagi menyertai kejohanan UKM. 

Benar kata orang, yang patah pasti kan tumbuh, yang pergi pasti muncul pengganti. Namun, orang selalu lupa, yang datang itu belum tentu akan sama redup pandangannya, kritis fikirannya, telus pandangannya dan ikhlas didikannya. Maka tinggal lah saya dan anak-anak ini untuk meneruskan perjuangan yang belum ternoktah lagi. Mempertahankan kejayaan lebih sukar dari mencapai kejayaan. Justeru cabaran utama pada tahun mendatang adalah mempertahankan Piala Perdana Menteri, apatah lagi STAR bakal menjadi persinggahan untuk HKSBP menjelang tahun 2012.

Tiada hadiah ribuan ringgit dalam mengiringi pemergian seorang sahabat yang bernama Puan Noridah. Mungkin yang ada hanyalah titisan air mata yang bakal mengiringi nya ke sekolah baru. Terima kasih selaut kasturi buatmu atas tunjuk ajar serta kasih sayang yang diberikan sepanjang 9 tahun berkelana di bumi bertuah ini. Terima kasih setinggi gunung kerana meninggalkan legasi yang cemerlang buat KELUARGA DEBAT BAHASA MELAYU STAR Ipoh. 

Terima kasih sahabat
Kerana mengizinkan aku berteduh
Di bawah payung kasihmu
Merelakan aku menyulam mesra
Dalam benang persahabatan
Membiarkan aku mewarnai catatan memori
Pada kertas kenangan
Terima kasih
Kerana mengibarkan  panji untukku
Berlindung dari hujan kebimbangan
Menadah perahu setia
Untukku melayar duka
Dari luka yang tidak terhingga...

Selamat maju jaya buatmu, Puan Noridah bte Haji Ramlan
(Jun 2003-Ogos 2011)



Shahnun AG, Nuzul Quran, Ramadhan 17, 1432 H


TERIMA KASIH KERANA SUDI MENGUNJUNGI BLOG KELAB HOKI STAR.KAMI MENGALU-ALUKAN SEBARANG KOMEN ANDA

2 comments :

Haziq Janudin said...

rasa sedih sangat-sangat.:'(

cikguidah said...

Usah berduka wahai sahabat...Simpan 'rasa' itu di hati kerana ingatan yang abadi berada di kolam kasih...

Untuk anak-anak, masa untuk perjuangan telah lama dimulakan, let the fire keeping burning kepada jiwa-jiwa pendebat muda...
Kita tidak ketandusan andai baja telah disiram pada pohon itu, tanah-tanah telah digemburkan di skeliling pohon itu..ranting, daun kering adalah permainan alam, ditiup angin, patah dan berlalu...
TETAPI pohon itu boleh mengeluarkan benih lagi..bertahun-tahun lamanya. Prosesnya sama...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...