Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

6 Jul 2011

PERSEDIAAN KE PUNCAK PERDANA, DOAKAN KAMI

Assalamualaikum,

Kira-kira lagi 7 hari pasukan PPM STAR akan bertolak ke Putrajaya . Alhamdulillah , berkat usaha dan kerjasama semua pihak , pelbagai persediaan yang dirangka dapat dijalankan tanpa sebarang masalah yang dominan . Ada kalanya latihan dan persediaan inilah yang dapat menyedarkan kami tentang kelemahan kami sendiri seterusnya memberi peringatan untuk kami lakukan yang terbaik untuk pertandingan ini .

Alhamdulillah , SMK Seri Serdang telahpun sudi menjejakkan kaki di bumi STAR untuk tujuan perlawanan persahabatan . Dalam istilah sains , hubungan kami dan SMK Seri Serdang boleh dikatakan sebagai 'mutualisme' yang bermaksud kedua-kedua belah pihak dapat kelebihan dan kebaikan masing-masing . SMK Seri Serdang sendiri menggunakan peluang ini sebagai persediaan mereka untuk Piala Dato Shukor yang diadakan di Perlis baru-baru ini . Alhamdulillah , mereka telah berjaya meneruskan legasi pasukan wakil Selangor untuk terus menjulang piala tersebut . Semoga STAR juga dapat melakarkan sejarah yang sama atas nama Piala Perdana Menteri 2011 .

Jutaan terima kasih juga diucapkan kepada alumni-alumni debat STAR yang sudi turun padang untuk memberi ilmu serta motivasi mental buat persediaan kami nanti . Abang Hakim , 5 hari kudratnya mengajar kami pastinya akan membuahkan hasil serta Abang Farid dan Abang Harinn yang akan dijadualkan turun ke bumi STAR ini . Buat insan yang tidak dapat hadir dek aral yang melinatang , kami sekadar mohon doa yang penuh keikhlasan buat kami untuk mendapat keredaan-Nya dalam pertandingan ini .

Dalam kesibukan kami berlatih sama ada bersama alumni mahupun latihan intensif bersama Umi dan Cikgu Shahnun , tugas untuk kami merapatkan ukhwah tetap tidak kami lupakan . Untuk pertama kalinya , usai Larian 1 Murid 1 Sukan , kami dapat bersatu dan 'berkelah' di atas padang hijau STAR di pekarangan Bilik Sumber BM . Roti Canai dan Kuih Bahulu Cikgu Shahnun dan Umi yang kami makan dengan penuh berselera semestinya akan menjadi kenangan buat kami khususnya untuk sisa-sisa tahun terakhir di alma mater ini . Petang Ahad baru-baru ini juga , kami dengan penuh gembira beriadah bersama-sama setelah penat berlatih , apa yang menarik ialah kami cuba menghidupkan kembali permainan tradisional 'tuju kasut' yang semakin luput ditelan zaman . Ada kalanya , permainan seumpama inilah yang dapat merapatkan ukhwah berbanding permainan berbentuk siber yang semakin mendapat tempat di hati masyarakat kontemporari .

Debaran kian dirasai , memang kami tidak pernah terlintas untuk meruntuhkan harapan semua pihak yang meletakkan harapan yang tinggi buat kami , justeru , kami mohon doa dan restu pelbagai pihak agar penantian piala selama 16 tahun ini tidak dipersiakan . Insya-Allah , berkat doa anda sekalian , Allah akan permudahkan segala bagai cabaran pada masa hadapan . Mohon diri dahulu , kami ingin berlatih .

TERIMA KASIH KERANA SUDI MENGUNJUNGI BLOG KELAB HOKI STAR.KAMI MENGALU-ALUKAN SEBARANG KOMEN ANDA

2 comments :

Haziq Janudin said...

semoga berjaya korang, buat yang terbaek!

Anonymous said...

Tahniah atas kejayaan semua dalam PPM 2011. Kejayaan in pastinya datang atas usaha gigih semua yang terlibat dan disertakan dgn doa para pendidik di bumi STAR. Teruskan usaha cemerlang saudara semua utk legasi gemilang STAR. Ikhlas daripada Hasril (1996)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...