Peserta Panama, Derrick Fernando Jaramillo dinobatkan juara
Pertandingan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu (PABM) Piala Perdana
Menteri 2013 bagi Kategori Antarabangsa yang berlangsung di Pusat
Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini malam ini. Peserta dari Malaysia, Mohd. Ikhwan Mohd. Rosseli pula muncul juara
Kategori Nusantara pada pertandingan peringkat akhir yang melibatkan
lapan peserta itu. Hadiah kemenangan disampaikan oleh Menteri Pengajian Tinggi, Datuk
Seri Mohamed Khaled Nordin yang mewakili Perdana Menteri, Datuk Seri
Najib Tun Razak pada majlis tersebut.
Yang turut hadir, Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin
Abdullah dan Datuk Dr. Hou Kok Chung; Ketua Setiausaha Kementerian
Pengajian Tinggi, Datuk Ab. Rahim Mohd. Noor. Johan bagi kedua-dua kategori akan membawa pulang wang tunai
bernilai RM21,700, Piala Perdana Menteri, piala iringan, hadiah dan
sijil.
Naib johan Kategori Antarabangsa dimenangi peserta dari China, Zhang
Yaqi manakala tempat ketiga menjadi milik peserta Jordan, Abdel Rahman
Ibrahim Sulieman.
Bagi Kategori Nusantara, peserta Indonesia, Muhammad Zulfadhli
Razali memenangi tempat kedua manakala tempat ketiga jatuh ke tangan Adi
Ismat Lamat dari Brunei.
Mereka masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai RM15,500 dan
RM9,300 beserta piala iringan, hadiah dan sijil untuk tempat kedua dan
ketiga bagi setiap kategori. Pertandingan peringkat akhir malam ini menyaksikan lapan peserta
iaitu dari Malaysia, Indonesia, Brunei, Panama, China, Jordan,
Afghanistan dan Jerman mempamerkan kemahiran berpidato masing-masing. PABM edisi ketujuh itu menyaksikan penyertaan seramai 77 peserta daripada 72 negara.
Sementara itu, Perdana Menteri berkata, kerajaan akan terus
memperkasakan bahasa Melayu sesuai dengan kedudukannya sebagai bahasa
kebangsaan yang menjadi alat penting untuk perpaduan nasional. Menurutnya, kerajaan juga bertekad untuk terus memperkembangkan dan memperkasakan bahasa nusantara itu di peringkat global.
Katanya, pertandingan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu (PABM) Piala
Perdana Menteri 2013 menjadi bukti komitmen kerajaan untuk
memartabatkan bahasa kebangsaan itu.
“Saya amat bangga dan kagum dengan usaha berterusan Kementerian
Pengajian Tinggi kerana memberikan tumpuan yang serius dalam
menganjurkan satu-satunya pertandingan pidato bahasa Melayu peringkat
dunia.
“Pertandingan ini ternyata telah memberikan impak yang sangat kuat
dalam memartabat dan memperkasa bahasa Melayu di persada dunia," katanya
dalam teks ucapan yang dibacakan oleh Mohamed Khaled. Najib berkata, biar pun PABM baru tujuh tahun dianjurkan, beliau
melihat penyertaan pertandingan pidato itu bertambah saban tahun.
Menurutnya, taraf kedudukan dan peranan bahasa Melayu sebagai bahasa
dunia telah menjadi fakta dalam sejarah perkembangan dan kebangkitan
tamadun Melayu.
“Bermula era pemerintahan Srivijaya pada abad ketujuh Masihi,
berkesinambungan ke zaman Kesultanan Melayu Melaka dalam tempoh beberapa
ratus tahun.
“Namun demikian, dengan kesan penjajahan yang memadamkan sebahagian
kegemilangan bahasa Melayu, upaya menggemilangkan semula bahasa ini
sebagai bahasa dunia memerlukan perancangan rapi dan berkesan, meskipun
memerlukan tempoh panjang dan beransur-ansur," katanya.
Sehubungan itu, Najib mengajak rakyat negara ini membuka minda untuk
memikir dan memulakan langkah memperhebat bahasa Melayu ke persada
dunia.
Katanya, segala ruang dan peluang yang ada perlu digunakan untuk
mempelbagai kaedah mengetengahkan bahasa yang diwarisi daripada nenek
moyang kepada masyarakat dunia.
sumber : UTUSAN