Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

20 Sept 2012

PELAN PEMBANGUNAN PENDIDIKAN 20013-2025


Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (2013-2025) yang dilancarkan pada Selasa menggariskan 11 anjakan yang diperlukan untuk mentransformasikan sistem pendidikan negara agar setaraf dengan sistem yang dimiliki di kalangan negara membangun bagi tempoh 13 tahun akan datang. Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, program transformasi itu akan dilaksanakan dalam tiga fasa. Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak kemudiannya melancarkan laporan awal pelan tersebut.

Antara perkara yang boleh dijangka daripada pelaksanaannya adalah: 


Gelombang Pertama mulai 2013 hingga 2015.

1) Peningkatan dalam kemahiran guru

2) Kualiti pengajaran

3) Keupayaan pegawai di peringkat negeri dan daerah

4) Mutu kepimpinan sekolah

Gelombang Kedua dari 2016 hingga 2020

1) Berlaku perubahan struktur sistem pendidikan negara yang menyaksikan kesemua 410,000 guru dan 10,000 pengetua atau guru besar menikmati pakej kerja baharu.

2) Bahagian-bahagian di Kementerian Pelajaran distruktur semula dan kurikulum sekolah rendah dan menengah disemak semula agar sejajar dengan perkembangan sosial dan ekonomi dunia.

Gelombang Ketiga mulai 2021 hingga 2025

1)  Semua sekolah, guru dan pengetua atau guru besar akan menunjukkan prestasi melebihi standard minimum.


2) Pelan itu menyasarkan hasil pada lima aspek iaitu akses, kualiti, kesaksamaan, perpaduan dan kecekapan.


3) Pelan turut menyasarkan pembangunan pelajar yang memiliki enam sifat utama untuk membolehkan mereka bersaing di peringkat global iaitu pengetahuan, kemahiran berfikir, kemahiran memimpin, kemahiran diwbahasa, beretika dan beragama, serta beridentiti kebangsaan.

Sebelas anjakan yang digariskan kementerian ialah:

1. Menyediakan akses sama rata untuk pendidikan berkualiti dengan standard antarabangsa;

2. Memastikan setiap pelajar fasih dalam Bahasa Malaysia dan Inggeris;3. Membangunkan rakyat Malaysia yang dipacu nilai murni;

4. Menjadikan perguruan sebagai profesion pilihan;

5. Memastikan pemimpin sekolah berprestasi tinggi di setiap sekolah;

6. Memperkasakan Jabatan Pelajaran Negeri, Pejabat Pendidikan Daerah dan sekolah untuk menyelesaikan isu mengikut keperluan;

7. Memanfaatkan teknologi komunikasi dan maklumat untuk meningkatkan kualiti pembelajaran di seluruh Malaysia;

8. Menambah baik keupayaan penyampaian dan kapasiti kementerian;

9. Bekerjasama dengan ibu bapa, masyarakat dan sektor swasta;

10. Memaksimumkan kemenjadian pelajar bagi setiap ringgit yang dibelanja;

11. Meningkatkan ketelusan untuk kebertanggungjawaban umum.

Laporan itu juga menyatakan Kementerian Pelajaran melancarkan semakan menyeluruh sistem pendidikan pada Oktober 2011 bagi membangunkan Pelan Pembangunan Pendidikan baharu tersebut.  Menurut laporan itu, keputusan tersebut dibuat dalam konteks peningkatan standard pendidikan antarabangsa, aspirasi kerajaan untuk mempersiapkan kanak-kanak di Malaysia dalam menghadapi abad ke-21 serta harapan menggunung masyarakat serta ibu bapa terhadap dasar pendidikan. Dalam tempoh setahun, lebih 50,000 pegawai kementerian, guru, pengetua, ibu bapa, pelajar dan orang ramai dilibatkan dalam pelbagai bentuk perbincangan. Kementerian juga melantik panel 12 pakar tempatan dan sebuah panel empat pakar antarabangsa bagi memberi input mengenai hasil semakan.






TERIMA KASIH KERANA SUDI MENGUNJUNGI BLOG KELAB HOKI STAR.KAMI MENGALU-ALUKAN SEBARANG KOMEN ANDA

19 Sept 2012

TEKS PIDATO - 55 TAHUN MERDEKA, BANGSA MALAYSIA TERUS PERKASA


Bismillahhirrahmanirrahim, Assalamualaikum WBT dan Salam 1 malaysia.

Detik 12 malam tanggal 31 Ogos tahun 1957, turunnya bendera Union Jack diiringi dengan laungan “Merdeka!!! Merdeka!!!Merdeka!!!” oleh Perdana Menteri Malaysia yang pertama, Yang Teramat Mulia Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj. Detik bersejarah yang tersemat kukuh dalam sanubari setiap rakyat Tanah Melayu.  .  Sedarkah kita, sehingga detik berharga ini, selepas 55 tahun yang bersejarah,  kita masih dapat mengecapi nikmat kebebasan yang telah diperjuangkan oleh perwira2 negara?

Sekalung apresiasi saya hulurkan buat saudara peneraju majlis,  kombinasi panel kehakiman berintelektual dan berintegriti, dif-dif kehormat yang disanjungi, seterusnya, hadirin hadirat yang saya hormati.  

Hadirnya saya disini bukanlah untuk menyampaikan amanat Merong Mahawangsa, bukan juga untuk melemparkan kata-kata  dusta, akan tetapi, hadirnya saya disini untuk menyampaikan mauduk bicara yang berbunyi 55 Tahun Merdeka : Bangsa Malaysia Terus Perkasa.

Putra-putri anak merdeka,

Frasa Bangsa  Malaysia merujuk kepada penyatuan kaum-kaum yang ada di Malaysia seperti Melayu, Cina dan India, manakala Terus Perkasa saya takrifkan sebagai kejayaan dan kemampuan dalam mendepani cabaran sepanjang 55 tahun kita merdeka dari aspek politik, ekonomi dan sosial. Secara tuntasnya, pidato saya pada hari ini akan melihatkan pencapaian Bangsa Malaysia dalam pelbagai bidang dan kejayaan-kejayaan ini terus diperkasakan dari dulu, kini dan selamanya.  Hadirin sekalin marilah sama-sama kita hayati pidato saya melalui empat fokus bicara yang berbeza.

Putera-Puteri anak pertiwi,

Pertama, Ilmu diperkasa, mentaliti diperkaya. Menurut Nelson Mandela, Mantan Presiden Afrika Selatan, ilmu merupakan senjata paling berkuasa untuk mengubah dunia. Senjata yang boleh mengubah perspektif manusia dan  membuka mata dunia. Misalnya, perkembangan dan pembudayan ilmu telah berlaku secara intensif di malaysia. Jika dahulu kebanyakan masyarakat Tanah Melayu buta huruf namun, pada hari ini kita mampu berbangga dengan pencapaian rakyat Malaysia sehingga mampu mengharumkan nama negara dalam bidang pendidikan.  Semua anak-anak kecil diberikan peluang sama rata untuk belajar. Dari lahirnya Penyata Razak 1956 yang memungkinkan masyarakat kita diberi peluang untuk menimba ilmu pengetahun, sehinggalah kepada dasar-dasar yang digubal dewasa kini bagi melahirkan Bangsa Malaysia yang cintakan pengetahuan  serta  memugar ilmu. Sekolah-sekolah di seluruh negara terus bertambah bagi memberikan peluang semaksimum mungin untuk anak-anak Bangsa Malaysia mendapat pendidikan yang sebaiknya.  Hari ini kita berbangga apabila kita berjaya melahirkan ramai ilmuan dan cendikiawan negara. Mentaliti bangsa kita semakin meningkat hari demi hari, semuanya kerana nilai ilmu yang diangkat ke tahap yang lebih  tinggi.

Kedua, ekonomi dijana, rakyat sejahtera. Sehingga detik ini, bangsa malaysia terus memacu ekonomi malaysia dengan jayanya. Strategi ekonomi yang mantap telah direncana semata-mata untuk kesejahteraan bersama. Empat tonggak transformasi ekonomi telah dirangka, khas untuk pembangunan negara yang tercinta. Koridor pertumbuhan ekonomi telah dibina, tidak lain tidak bukan untuk menjadi pemangkin kepada ekonomi negara. Sedarkah anda, sejak dari penubuhan Malaysia pada tahun 1963, pelbagai inisiatif telah dijalankan.dasar ekonomi baru, model baru ekonomi,program transformasi ekonomi dan berbagai-bagai lagi inisiatif telah dijalankan. Kita telah berusaha menaikkan taraf ekonomi rakyat. Kita telah berusaha untuk menaikkan gaji bangsa sejagat. Masalah ekonomi negara kita ubat. Masalah korupsi, cuba kita sekat. Hasilnya, menurut Buku Tahunan Daya Saing Dunia 2010, yang diterbitkan oleh Institut Pembangunan Pengurusan Dunia, Malaysia telah menempah tempat ke 10 dalam negara paling kompetetif dunia. Tidak cukup dengan itu, pada tahun 2010 juga, ekonomi malaysia telah berkembang sebanyak 7.2 peratus dan kita mempunyai kadar integrasi global yang sangat tinggi. Krisis kewangan pada akhir tahun 90-an dan tahun 2008 dapat kita tangani. Kadar keluaran dalam negara kasar kita telah mencapai tahap tertinggi. Sekarang, kita menuju kepada negara berpendapatan tinggi. Lihat, hasil usaha sama seluruh bangsa malaysia tak kira dari melaka, bintulu nun jauh di sana, masih menyumbang bakti kepada pembangunan ekonomi negara.

Hadirin Hadirat sekalian,

Ketiga, rakyat bersatu, perpaduan terbina. Tun Dr mahathir Mohamad pernah berkata, Manusia yang lemah sekalipun jika bersatu padu akan dapat menggoncang dunia. Demikianlah kesannya perpaduan. Pada setiap hari, kita tidak akan pernah lekang daripada disemai bibit-bibit perpaduan dalam lubuk hati kita. Gagasan 1 Malaysia, yang menekankan elemen perpaduan, telah diperkenalkan dan menjadi buat mulut seluruh rakyat Malaysia. Kini, sekalian rakyat mempunyai satu haluan, satu tujuan. Perpaduan telah disemai subur  sejak dahulu lagi melalui sistem pendidikan kebangsaan yang telah diusulkan dalam Laporan Razak. Bahasa Malaysia telah menjadi bahasa penghantar utama dalam pembelajaran. Kerajaan sedar, untuk menyemai perpaduan, kita perlu menyemai dari kecil, bak kata pepatah, melentur buluh biarlah dari rebungnya. Tidak cukup dengan itu, dari aspek politik,parti-parti  politik yang dahulunya memperjuangkan semangat perkauman sahaja telah bergabung untuk menjadi satu parti gabungan yang memperjuangkan semangat kenegaraan atau nasionalisme. Inilah  sebenarnya perpaduan yang ingin kita bentuk agar bangsa malaysia akan terus perkasa dan disegani dunia.

Warga dewan yang budiman,

Ke empat, pencapaian hebat, nama malaysia terpahat. Hari ini, Bangsa malaysia telah melahirkan ramai insan-insan hebat yang telah mengharumkan mana Malaysia di persada jaya. Dari ketokohan Tun Dr Mahathir Mohammad memimpin negara, kehebatan Dato Dr Muzhafar Shah menjeki anagkasa sehinggalah kemampuan Dato Lee Chong Wei dan Pandalela Rinong untuk meraih pingat Olimpik, kita tidak pernah ketandusan nama-nama terbilang. Semuanya bertolak dari kehebatan, semangat dan keinginan untuk mengangkat nama Malaysia di persada dunia. Usaha yang bukan sedikit dari mereka , perlu dijadikan panduan dan tauladan. Kemmapuan Bangsa Malaysia dalam berdiri sama tinggi, duduk nampak sama rendah bersama bangsa-bangsa lain di dunia harus kita banggakan. 55 tahun bangsa kita terus hebat.

Anak-anak bangsaku,

Saya dapat menyimpulkan bangsa Malaysia mempunyai kekuatan dan kelebihan yang tersendiri. Nilai-nilai keperkasaan dan kegemilangan masih utuh mendasari bangsa Malaysia. Ayuhlah anak-anak bangsaku, kita kita kibarkan potret kegemilangan Malaysia selagi hayat dikandung badan. Sekian, Salam Bangsa Malaysia Perkasa, Wabillahitaufiq walhidayah wassalamualaikum warahmatullah hiwabarakatuh.

Disediakan oleh : SHAHNUN ABDUL GHANI DAN KHAIRUL HAFIZ KHAIRUL ANNUR

Disampaikan oleh : KHAIRUL HAFIZ KHAIRUL ANNUR (Tempat ke-3 Pertandingan Pidato Yayasan Selangor Kali Ke-6, 2012)




TERIMA KASIH KERANA SUDI MENGUNJUNGI BLOG KELAB HOKI STAR.KAMI MENGALU-ALUKAN SEBARANG KOMEN ANDA

TEKS PIDATO DI RAJA PIALA KPM - AKHLAK MULIA, KELUARGA BAHAGIA


Bismillahirahmanirrahim

Amerika Syarikat bertamadun tinggi berdiri kukuh sebagai kuasa besar dunia, namun kebejatan sosialnya semakin menggila sekaligus menidakkan nilai-nilai insani yang seharusnya menunjangi kehidupan keluarga bahagia. Institusi keluarga tergugat, lantaran akhlak yang mulia telah diabaikan, sebaliknya digantikan dengan konsep matlamat menghalalkan cara dalam segala aspek kehidupan keluarga. Nantikan natijahnya, renungkan.

Assalamualikum WBT dan salam keluarga bahagia.

Sejambak kasih seharum kasturi buat saudara peneraju majlis, jemaah hakim yang berintegriti, warga pendidik yang disanjungi seterusnya rakan-rakan seperjuangan yang dihormati.

Akhlak Mulia Keluarga Bahagia, demikianlah bingkisan wacana saya pada pagi ini.

Hadirin yang bervisi,
Manyusuri konsep AKHLAK MULIA KELUARGA BAHAGIA mempunyai kolerasi tersendiri.  Ramai percaya bahawa AKHLAK MULIA adalah kuasa kebahagiaan keluarga, masyarakat dan Negara. Justeru, hadirin sekalian, saya ingin mengajak anda menghayati TIGA focus bicara intipati wacana saya pada hari ini.
Pertama senarioa semasa institusi keluaraga hari ini, . Kedua cabaran yang dihadapi oleh istitusi keluarga dan ketiga , langkah mewujudkan keluaraga bahagia melalui pembentukan akhlak mulia.

Putera-puteri anak pertiwi

Masih segar di ingatan, kita disentak dengan peristiwa duka si bapa menikam mati si isteri meninggalkan anak-anak yang masih kecil, isteri tua menyimbah asid kepada suami tersayang kerana isu berpoligami, si anak pula membunuh ibu kandung angkara dadah yang menghantui diri.Statistik kes sumbang mahram, harapkan pagar, pagar makan padi yang dikeluarkan oleh kementerian Pembangunan Wanita dan Keluarga menunjukkan ada peningkatan kes setiap tahun iaitu 2503 kes pada tahun 2010 kepada 2952 kes pada tahun 2011. Senario reality masyarakat Malaysia sebegini amat menakutkan kita kerana seolah-olah masyarakat kita kehilangan rentak memacu bahtera keluarga. Anak-anak muda di bangku persekolahan sudah mempraktikkan gejala sumbang yang ditonton melalui kemajuan teknologi. Persoalannya, mempukah kita membentuk akhlak mulia dalam kalangan masyarakat kita dan seterusnya melahirkan keluarga yang bahagia dalam situasi sebegini.

Warga dewan budiman,

Cabaran dalam membentuk keluarga bahagia. Kehidupan moden hari ini bukan sahaja menuntut manusia untuk bekerja  keras bagi menampung kehidupan, namun manusia mula melupakan asas pembinaan keluarga menurut lunas dan akhlak yang mulia. Pembentukan keluarga nukleus tidak lagi menjadi keutamaan dalam era kemodenan ini. Para ibu bapa begitu sibuk bekerja sehingga anak-anak dibiarkan membesar tanpa ada pengawasan. Statistik  kes lari dari rumah yang dikeluarkan oleh PDRM Bukit Aman menunjukkan 87 peratus  kes lari rumah kerana kelalian ibu bapa. Pakej Keluarga bahagia berteraskan yang muda disayangi, yang tua dihormati, Konsep Rumahku Syurgaku tidak lagi menjadi ikutan bahkan dipandang sepi dalam masyarakat. Sungguh sedih melihat kehancuran akhlak dalam kalangan remaja. Imam Al Ghazali pernah berkata, untuk melihat kemajuan sesuatu bangsa, lihatlah remajanya hari ini. Namun, sayang seribu kali sayang, kes-kes moral terus meningkat saban tahun dan dilihat tiada kesudahannya.

Hadirin yang dikasihi,

Pepatah Melayu ada mengatakan, hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih. Peranan dan tanggungjawab membentuk masyarakat berkualiti diperkasakan melalui pelbagai médium di peringkat akar umbi. Agensi-agensi yang prihatin menyahut pelan strategik kerajaan  mengajak masyarakat  mengubah paradigma. Kursus pra perkahwinan  diwajibkan  kepada pasangan yang seia sekata mengikat janji Agar memperolehi kemahiran keibubapaan yang secukupnya. Amalan Budi Bahasa Budaya Kita, disemarakkan Agar jutaan rakyat Malaysia bersama-sama menghayati konsep jati diri dan membetulkan organisasi lantas menanam dan mengkambus jauh telunjuk lurus kelingking berkait. Didikan ágama dan kerohanian disemaisuburkan dalam diri setiap ahli keluarga dengan akhlak-akhlak mulia dan mahmudah agar sikap sayang menyayang dalam keluarga dan masyarakat tidak bertepi. Sudah tentulah puncak kasih akan berpanjangan. Jelas menunjukkan usaha-usaha telah dilakukan bagi membentuk akhlak mulia dan akhinya membentuk keluarga bahagia.


Anak-anak bangsaku

Saya dapat menyimpulkan bahawa bangsa Malaysia mempunyai kekuatan dan kelebihan yang tersendiri. Nilai-nilai tradisi dan akhlak mulia masih utuh mendasari prinsip keluarga bahagia. Ayuhlah anak-anak bangsaku, kita kekalkan warisan gemilang selagi hayat di kandung badan. Marilah kita lakarkan potret kegemilangan Malaysia pada masa hadapan.  Sekian Salam keluarga Bahagia. Wabillah hitaufiq walhidayah wassalamualikum WBT.

Disediakan oleh : SHAHNUN BIN ABDUL GHANI
Disampaikan oleh : DINIE ZHAFRI BIN ZAINUDDIN 
(Naib Johan Pertandingan Pidato Piala KPM Peringkat  Negeri Perak 2012)








TERIMA KASIH KERANA SUDI MENGUNJUNGI BLOG KELAB HOKI STAR.KAMI MENGALU-ALUKAN SEBARANG KOMEN ANDA

STAR JUARA DEBAT YAYASAN SELANGOR 2012

Setinggi ucapan kesyukuran dipanjatkan ke hadrat Ilahi atas segala rezeki yang dikurniakan oleh-Nya. Alhamdulillah, KDBM STAR membuktikan kemampuan menguasai arena debat sekolah-sekolah Malaysia sekali lagi pada kali ini apabila memenangi Pertandingan Debat Yayasan Selangor kali ke-enam di Klang, Selangor semalam.

Dalam meniti laluan ke pentas final, STAR A yang dibarisi oleh Dinie Zhafri, Amirul Rosli, Ahmad Aiman dan Fayyaz Imran berjaya mendominasi pusingan awal apabila menang semua perlawanan tanpa kalah. Kedudukan ini berjaya melaykkan STAR A ke peringkat suku akhir di mana perlawanan menentang SM Sains Alam Shah berjaya diharungi dengan jayanya. Menanti di peringkat separuh akhir, 'rakan' senegeri, iaitu Thye Malay College Kuala Kangsar (MCKK ) menanti dengan penuh semangat. Namun, Alhamdulillah, akhirnya STAR muncul sebagai pemenang menentang pasukan rival ini dan melayakkan diri ke pentas final.

Di peringkat akhir, STAR dijadualkan menentang Kolej Islam Sultan Alam Shah (KISAS) yangs ebelum itu menewaskan SMAP Kajang  di peringkat separuh akhir. Usul yang diperdebatkan berbunyi "PENGHAYATAN KEMERDEKAAN SEMAKIN PUDAR" Bertindak selaku pihak pembangkang, STAR sedaya upaya menangkis serangan pihak lawan dan akhirnya keputusan telah dibuat oleh tujuh juri yang profesional. Pendebat-pendebat muda ini tersenyum kepuasan apabila memenangi pertandingan dengan juri 6-1, margin 2.67. 

Hadiah-hadiah telah disampaikan oleh YB Dr Halimah Ali, Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan Selangor. Sekalung tahniah buat semua pembahas, pembahas tingkatan 1 yang turut menunjukkan perkembangan positif menduduki tempat ke -14 dari 30 pasukan, Paman, Quchai serta semua warga KDBM STAR Ipoh. Juga tak lupa untuk Cikgu Shahnun yang sentiasa setia menemani kami. Moga legasi kecemerlangan KDBM STAR akan terus berpanjangan.


Pasukan A dan B sewaktu menghadiri jamuan makan malam.


Bacaan Yassin setiap kali sebelum menghadapi pertandingan.


Aksi Khairul Hafiz dalam Pertandingan PIDATO. Beliau memperoleh tempat ke-3. Tahniah Ayar.


Para pendebat junior turut berjuang. Alhamdulillah, mendapat kedudukan tempat ke-14, satu pencapaian yang boleh dibanggakan bersaing dengan pendebat-pendebat senior.


Memohon pandangan daripada para juri berpengalaman tentang kelemahan masing-masing.


Tetamu Kehormat, YB Dr Halimah Ali, Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Modal Insan Selangor.


Musim 2012 dinoktahkan dengan kejayaan ke tiga STAR setelah menjuarai MUSLEH dan PIALA KOPERASI. Sayang sedikit gagal ke pentas final UIA dan PPM.


Lagu ROUSE UP berkumandang di Dewan Bestari, AYS, Klang diketuai olkeh STAROBA, Haji Fathil.


Sesi temuramah oleh Media.












TERIMA KASIH KERANA SUDI MENGUNJUNGI BLOG KELAB HOKI STAR.KAMI MENGALU-ALUKAN SEBARANG KOMEN ANDA

10 Sept 2012

USUL DEBAT DAN PIDATO ASRAMA YAYASAN SELANGOR KALI KE-6

POLITIK

1. Isu Timur Tengah : Bagai Enau Dalam Belukar, Melepaskan Pucuk Masing-Masing
2. Afrika : Mereka Sudah Bersedia
3. Dewan Ini Akan Membubarkan NAM
4. Penggantungan Keahlian Syria Dalam OIC : Satu Kesilapan
5. Janji Ditepati : Sudah Terhantuk Baru Terngadah
6. Kematangan Berpolitik Di Malaysia Kian Pudar
7. 1Malaysia Bukan Sandiwara Politik
8. Pelaksanaan Hukum Hudud : Malaysia Sudah Bersedia
9. Dewan Ini Akan Mengadakan Semula Pilihan Raya Bagi Kerajaan Tempatan

EKONOMI

1. Mata Wang Tunggal Penyelamat ASEAN
2. Krisis Hutang Greece : Ribut Dalam Cawan
3. Barat Semakin Miskin
4. FGVH Tindakan Tepat
5. Liberalisasi Ekonomi Bukan Jawapannya
6. Demi Kelangsungan Pembangunan, Pekerja Asing Diperlukan
7. Dewan Ini Mencadangkan Pemansuhan Monopoli Astro

HUMOR & MANTIK

1. Api Lawannya Air
2. Dunia Sekarang, Pekak Pun Boleh Mendengar
3. Sin Chan Lebih Baik Daripada Doraemon
4. Hitam Tak Semestinya Buruk, Putih Tak Semestinya Cantik
5. Seksi Itu Seksa
6. Bumi Tidak Lagi Bulat

SOSIAL

1. Isu Air Selangor : Sekepal Menjadi Gunung, Setitik Menjadi Laut
2. Statistik Jenayah Malaysia : Indah Khabar Dari Rupa
3. Kepompong Perpaduan Kita Sudah Pecah
4. Jalur Gemilang Tidak Lagi Gemilang
5. Sudah Tiba Masanya Malaysia Menjadikan ICT Sebagai Bidang Keberhasilan Utama Negara
6. Warung Mamak Menceriakan Perpaduan Negara
7. Dewan Ini Akan Mengkaji Semula Pindaan 114A

SUKAN & HIBURAN

1. Rancangan Realiti TV Bukan Medan Bakat
2. Artis Berpolitik Hanya Untuk Glamor
3. Industri Perfileman Malaysia Masih Di Takuk Lama
4. Kita Lebih Suka Mengikut Budaya Hiburan Luar
5. Perlembagaan FAM: Barah Dalam Diam
6. Status Anak Emas Badminton Perlu Ditarik Balik
7. Dewan Ini Percaya Malaysia Perlu Lebih Aktif Melobi Sukan Skuasy Dan Boling Dimasukkan Dalam Sukan Olimpik Demi Emas Pertama Negara

PENDIDIKAN

1. Penggunaan Telefon Bimbit Di Sekolah : Kewajaran Bukan Kesilapan
2. Pendidikan Percuma, Kita Sudah Bersedia
3. Konsep STM Perlu Dimulakan Dari Sekolah
4. Mahasiswa Malaysia Sudah Merdeka
5. Pendidikan Global : Kita Semakin Hampir
6. Kuasa Autonomi Untuk IPTA Lebih Buruk Dari Baiknya
7. Pendidikan Untuk Peperiksaan
8. PBS Perlu Dihentikan
9. Dewan Ini Mencadangkan Sistem Penggiliran Dalam Kemasukan Ke SBP Dan MRSM Demi Keadilan


Senarai Tajuk Pidato

PUSINGAN 1


10 TAJUK – PILIH SATU SAHAJA : 7 minit
Tajuk diberi seminggu sebelum pertandingan.

1. 55 Tahun Merdeka : Bangsa Malaysia Terus Perkasa
2. Generasi Muda Pencetus Ketamadunan Bangsa
3. Yayasan Selangor, Pemangkin Generasi Berilmu
4. Globalisasi Membentuk Belia Kreatif dan Kritis
5. 1Malaysia Pemangkin Status Malaysia Sebagai Sebuah Negara Maju
6. Transformasi Malaysia Pencetus Rakyat Minda Kelas Pertama
7. Malaysia Pelopor Industri Halal Dunia
8. Takkan Sirih Pulang ke Gagang, Budaya Bangsa Terus Dijulang,
9. Media Sosial Pemacu Pembinaan Negara Bangsa
10. Sejarah Tanah Air Pembina Semangat Anak Bangsa

PUSINGAN 2 / SPONTAN
20 TAJUK – PILIH SATU SAHAJA : 2 minit
Tajuk diberi 30 saat sebelum memulakan persembahan.

PUSINGAN AKHIR
5 TAJUK – SATU ORANG SATU TAJUK : 7 minit
Tajuk diberi 1 hari sebelum pertandingan akhir.

TERIMA KASIH KERANA SUDI MENGUNJUNGI BLOG KELAB HOKI STAR.KAMI MENGALU-ALUKAN SEBARANG KOMEN ANDA

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...