Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.
Showing posts with label TEKS PIDATO. Show all posts
Showing posts with label TEKS PIDATO. Show all posts

21 Apr 2016

TEKS PIDATO : RAKYAT BERINTEGRITI, NEGARA CEMERLANG

RAKYAT BERINTEGRITI, MALAYSIA CEMERLANG

Bimillahirrahmanirrahim,

Sewaktu kita masih kecil,  kita diberitahu oleh ibu bapa kita tentang fungsi tiga warna pada  lampu isyarat. Warna MERAH untuk berhenti, warna HIJAU untuk meneruskan perjalanan dan warna KUNING untuk sedia berhenti. Namun, selepas meningkat dewasa, doktrin yang telah dikoordinasikan semenjak kecil, ibarat masuk telinga kanan, keluar telinga kiri. Tatkala keseorangan dalam pemanduan, tanpa ada seseorang yang memandang ataupun pihak berkuasa melakukan sekatan, kita menghijaukan warna Merah dan kita juga menghijaukan juga warna kuning. Inilah secebis kisah tentang INTEGRITI.

Salam apresiasi buat  saudara pengerusi majlis, barisan panel kehakiman yang penuh berintegriti, dif-dif kehormat  yang disanjungi,  seterusnya  hadirin yang bervisi  dekat di hati.  Assalamualaikum w/b/t salam 1 Malaysia  buat anda semua.

RAKYAT BERINTEGRITI, MALAYSIA CEMERLANG begitulah mauduk pidato yang bakal saya persembahkan  buat  santapan minda warga dunia.

Menurut Mantan Perdana Menteri, Tun Abdullah Haji Ahmad Badawi, konsep Rakyat Berintegriti mencakupi perkara-perkara yang lebih besar dari isu rasuah semata-mata. Rakyat Berintegriti membawa maksud rakyat  yang memiliki nilai-nilai amanah, boleh dipercayai, jujur dan  sifat-sifat peribadi yang teguh. Maka, untuk menjadikan Malaysia Cemerlang, kualiti unggul yang digariskan menerusi konsep Rakyat berintegriti diperlukan bagi memacu kecemerlangan Malaysia.

Namun persoalannya, bagaimanakah kita dapat melahirkan Rakyat Berintegriti yang akan memacu kecemerlangan Malaysia ?

Maka hayatilah pragmatik yang pertama INSTITUSI KELUARGA DIPERKASA, INTEGRITI TERPELIHARA

Institusi  keluarga  merupakan institusi penting dalam masyarakat kita kerana asas segala asuhan  bermula daripada  keluarga.  Ibarat melentur buluh biarlah dari rebungnya. Sedari kecil, anak-anak perlu dididik dengan sifat-sifat peribadi yang teguh, dan ibu bapa juga seharusnya menjadi suri teladan terbaik buat anak-anak. Menurut Prof Syed Naquib Al Atas dalam bukunya Ar Risalah, mengatakan peranan institusi keluarga sangat utama dalam pembentukan masyarakat sejahtera. Statistik yang dikeluarkan oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menunjukkan setiap 15 minit, satu pasangan islam bercerai di Malaysia, setiap 5 hari, seorang bayi kecil dibuang tanpa rasa berdosa dan setiap dua  hari, 2 orang remaja kita lari dari rumah. Kegagalan integriti  diterapkan sedari awal menyebabkan institusi keluarga menjadi pincang, dan akhirnya Malaysia yang cemerlang terencat untuk dizahirkan.  Namun saya ingin berterima kasih  kepada  ibu bapa di hadapan saya yang menyahut kempen Rumahku Syurgaku, Baiti Jannati yang sentiasa menyemaisuburkan asas integriti dalam  kalangan ahli keluarga, berteraskan yang tua dihormati, yang muda disayangi. Lantaran itu, rakyat berintegriti yang ditunjangi oleh kekuatan institusi kekeluargaan dapat dilahirkan, akhirnya Malaysia Cemerlang di persada dunia.

Sidang hadirin bervisi

Pragmatik kedua PENDIDIKAN DIMANTAPKAN, INTEGRITI DIBUDAYAKAN

Sedari Awal Kalimah Iqra diturunkan oleh Pencipta adalah untuk menyeru seluruh umat manusia mencintai ilmu. Maka, seharusnya Institusi pendidikan menjadi tapak  untuk menanam asas integiriti dalam kalangan rakyat Malaysia. Kita sedar, institusi pendidikan merupakan institusi cukup dihormati dan dekat di hati. Namun kita disentak dengan beberapa isu integriti dalam bidang pendidikan, kes kebocoran soalan UPSR yang tidak sepatunya berlaku sehinggalah kisah  pelajar memukul guru yang berkorban mencurahkan  ilmu. Cukup sedih apabila melihat SEORANG  murabbi diperlakukan sedemian rupa. Namun, saya cukup yakin, itu hanya kes-kes terpencil kerana masih ramai dalam kalangan  putra-putri merdeka yang menjunjung falsafah rasmi padi, semakin berisi, semakin menunduk ke bumi. Usaha-suaha diperkasakan melalui sektor pendidikan untuk menyemaisuburkan integriti bukan sahaja dalam kalangan pelajar, malahan kepada murabbi.  Dari seawal Penyata Razak sehinggalan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia ,  pelbagai usaha dilaksanakan bagi melahirkan modal insan beringriti.  Pendidikan agama dan moral diwajibkan, pendidikan sivik dan  kewarganegaraan juga diperkasakan, kegiatan kokurikulum disulam dengan asas integriti yang kuat. Lantaran itu, lahirlah modal insan bermentaliti kelas pertama yang akan memacu kecemerlangan Malaysia.


Pragmatik ke tiga, MEDIA MASSA MAINKAN  PERANAN, AMALAN INTEGRITI DITINGKATKAN.  Menyedari betapa dunia hari ini dihujani dengan ledakan media sosial, kita tidak boleh mengatakan tidak kepada kehadiran teknologi ini. Dilaporkan bahawa kini terdapat lebih 500 juta pengguna facebook dan lebih 100 juta pengguna twitter di seluruh dunia, membuktikan media social merupakan satu ancaman jika tidak digunakan dengan cara yang betul. Insiden pergaduhan di Plaza Low Yat pada 12 Julai lepas, misalnya, hanyalah berpunca daripada insiden mencuri telefon bimbit tetapi menjadi viral kononnya melibatkan isu pergaduhan kaum. Bukan itu saja, penyebaran spekulasi liar dan berita palsu berkaitan pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 yang hilang sejak 8 Mac tahun lepas juga antara bukti penyebaran berita tidak sahih. Fitnah ini membuktikan ketirisan integriti ysng gsgsl dibezakan kebenaran dan kepalsuannya. lantaran itu, pengguna media sosial yang memiliki integriti yang tinggi seharusnya berupaya menapis dan menentusahkan setiap berita sebelum menyebarkannya di media massa. Mereka tidak akan sewenang-wenangnya menyebarkan berita yang palsu. Di pihak kerajaan, pelbagai usaha dilaksanakan.  Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia menggubal  Akta Komunikasi dan Multimedia  bagi menyekat berita yang tidak ada integriti.  Kempen-kempen integriti di kalangan pengguna media sosial dirancakkan dan seharusnya disambut baik oleh seluruh rakyat Malaysia.

Anak-anak bangsaku
Sebelum saya meninggalkan medan pidato in, saya dapat simpulkan betapa hari ini kita mampu melahirkan rakyat berintegriti yang bakal memacu kecemerlangan Malaysia andai institusi keluarga diperkasa, pendidikan integriti menjadi budaya serta media social diguna sebaiknya. Ayauhlah bangsaku, kita lakarkan potret kecemerlangan Malaysia, maka benarlah Rakyat Berintegriti, Malaysia Cemerlang.
Sekian, Terima Kasih.


Disediakan oleh : 
SHAHNUN ABDUL GHANI

Disampaikan oleh : 
MUHAMMAD AFIF NAZHAN BIN MOHD HASNI,
NAIB JOHAN PIDATO PIALA DI RAJA PERINGKAT KEBANGSAAN


TERIMA KASIH KERANA SUDI MENGUNJUNGI BLOG KELAB HOKI STAR.KAMI MENGALU-ALUKAN SEBARANG KOMEN ANDA

25 Aug 2015

TEKS PIDATO " KEMANAN DUNIA BUKAN IMPIAN "

KEAMANAN DUNIA BUKAN IMPIAN

Bimillahirrahmanirrahim,

Pernah atau tidak terlintas di benak pemikiran kita untuk hidup dalam dunia yang penuh dengan keamanan? Dunia tanpa sebarang pertelingkahan, pergaduhan, peperangan dan konlfik keamanan? Setiap hari tanpa henti, masyarakat dunia disajikan dengan krisis keamanan yang berlaku di seantero dunia sehingga perkara ini sudah menjadi perkara biasa-biasa untuk kita. Persoalannya adakah kita tidak mengimpikan untuk mewujudkan dunia yang penuh dengan keamanan?

Salam apresiasi buat  saudara pengerusi majlis, barisan panel kehakiman yang penuh berintegriti, dif-dif kehormat  yang disanjungi,  seterusnya  hadirin yang bervisi  dekat di hati. Assalamualaikum w/b/t salam keamanan buat anda semua.

KEAMANAN DUNIA BUKAN IMPIAN begitulah mauduk pidato yang termenterai buat santapan minda warga dunia.

Secara umumnya menurut  Setiausaha Agung  Pertubuhan  Bangsa-Bangsa Bersatu Ban Ki Moon, keamanan  dunia bermaksud situasi masyarakat  dunia yang hidup dalam keadaan harmoni, berintegriti, kesederhanaan dan kebahagiaan  tanpa sebarang ancaman dan bahaya. Namun dalam situasi semasa, dunia yang penuh dengan masalah, krisis dan konflik keamanan sudah cukup untuk membuktikan bahawa kita tidak mengimpikan keamanan  dunia. Justeru marilah bersama-sama saya untuk menghayati TIGA kisah menghayat hati buat renungan bersama.

Saudaradansaudari,

Pertama : Negara antara negara bertelagah, krisis taksudah-sudah.

Sehingga   hari ini, kita masih dipaparkan dengan isu-isu semasa mengenai konflik antara dua Negara iaitu Israel dan Palestin. Sudah  lebih 100 tahun  dua Negara ini bertelegah, namun konflik ini masih tak sudah-sudah.  Walaupun sudah banyak perjanjian ditangani, pemimpin juga silih berganti, namun sehingga kini usaha yang dilakukan  hanya menemui jalan buntu.  Jika dahulu, rakyat di Palestin mampu untuk hidup dalam keadaan aman dan harmoni di tanah air sendiri, namun selepas keputusan untuk  menubuhkan kerajaan Yahudi termeterai, segalanya menjadi mimpi ngeri. Tanah mereka dirampas, rumah menjadi tempat berlindung dimusnah. Daripada  580 perkampungan  rakyat  Palestin  yang wujud sebelum perang 1948,  Zionis telah menghancurkan 478 buah kampung. Kanak-kanak tidak berdosa, kaum wanita yang tiada upaya turut menjadi korban kerakusan Zionis durjana. Kemajuan  teknologi senjata menjadi saksi betapa rakyat tidak berdosa terkorban di bumi sendiri. Sedangkan masyarakat dunia terus menjadi pemerhati, PBB juga berdiam diri, OIC terus senyap dan tuli.  Adakah Keamanan Dunia Yang kita impikan akan terjadi?

Putera-puteri pewaris dunia.

Kedua : Hak Asasi DiCabuli, Rakyat  Sengsara Tak Henti

Isu entik Rohingya masih segar dalam ingatan kita. Pernahkan kita terbayang  bagaimanakah perasaan jika kita berada di tempat mereka? Menurut  Amnesty Internatonal, orang Rohingya terus menerus menderita dan terseksa akibat pencabulan hak kemanusiaan oleh junta tentera  Myanmar  sejaktahun 1978, dan akibatnya ramai yang telah melarikan  diri  ke Negara jiran seperti Bangladesh. Etnik  rohingya ini telah dinafikan  kewarganegaraan Myanmar mereka dan  kewujudan mereka ingin dihapuskan dari Myanmar. Pembunuhan rancak dijalankan untuk memastikan etnik muslim rohingya yang dahulunya dalam lingkungan 6 juta kini  tinggal  hanya dalam lingkungan 800 000 ribu orang, hilang tanpa dikesan, mati tanpa kubur dan nesan. Sebak melihat r umah mereke dibakar di hadapan mata, malah ramai yang disembelih tanpa  ada belas kasihan, malah yang lebih dasyat kanak-kanak yang tidak berdosa diikat tangan mereka dan dibuang dalam sungai. Natijahnya, pembunuhan etnik terus berlaku, puak pelampau Budha terus bersorak keriangan, ASEAN hanya diam membisu, dan seperti biasa masyarakat dunia hanya menjadi pemerhati setia.



Warga dewan budiman,
 
Ketiga : Ketelusan demokrasi tidak dipelihara, dunia makin porak-peranda

Masihkah kita ingat akan krisis demokrasi dan politik yang berlaku di Mesir? Nama Muhammad Mursi Isa al Ayya begitu harum ketika itu. Beliau merupakan Presiden Mesir yang kelima serta Pemerintah Tertinggi Angkatan  Tentera Mesir antara 2012 hingga 2013. Dengan iltizam menjunjung demokrasi,   Morsi merupakan pemimpin pertama di Mesir yang memenangi pilihanraya secara demokratik dalam sejarah Mesir, selain orang awam pertama memegang jawatan itu. Namun malangnya  pada 30 Jun 2013, bantahan besar-besaran meletus di Mesir menyeru perletakan jawatan Presiden, Negara yang aman mula bergolak Dari Istana Presiden, akhirnya Mursi dibawa ke penjara. Morsi telah digulingkan pada 3 Julai oleh menteri pertahanan dan panglima besar tentera Abdul Fatah al-Sisi. Lantaran itu, rakyat marhain mendokong demokrasi bangkit menentang ketidakadilan tentera. Lantas, tanpa perikemanusiaan, rakyat awam dibunuh dengan kejam oleh tentera Mesir. Seluruh dunia menyifatkannya sebagai jenayah kemanusiaan terkutuk, lebih-lebih lagi ia dilakukan pasukan keselematan yang sepatutnya menjaga keamanan serta ketenteraman negara. Ibarat harapkan pegar, pegar makan padi. Bagaimana wujudkan keaman dunia yang kita impikan sekiranya pemimpin Negara sendiri tidak menjaga kepentigan   rakyat.

Anak-anak bangsaku.

Begitulah cebisan kisah duka dan air mata buat santapan halwa telinga. Sebelum saya  meninggalkan pentas  khutub khanah ini, ingin  saya menyeru kepada seluruh warga dewan yang setia, agar kita peliharalah kemananan yang kita miliki ini dengan sebaiknya. Saya yakin dan pasti semua warga dunia mengharapkan dunia yang aman tanpa pergolakan. Ayuh bangsaku, kita lakarkan potret keamanan dunia. Kita bina masyarakat sejahtera kerana KEMANAN BUKAN IMPIAN , malah akan menjadi kenyataan suatu hari nanti.

Sekian wabillahitaufikwalhidayah, wassalamualaikumwarahmatullahiwabarakatuh.



TERIMA KASIH KERANA SUDI MENGUNJUNGI BLOG KELAB HOKI STAR.KAMI MENGALU-ALUKAN SEBARANG KOMEN ANDA

19 Sept 2012

TEKS PIDATO - 55 TAHUN MERDEKA, BANGSA MALAYSIA TERUS PERKASA


Bismillahhirrahmanirrahim, Assalamualaikum WBT dan Salam 1 malaysia.

Detik 12 malam tanggal 31 Ogos tahun 1957, turunnya bendera Union Jack diiringi dengan laungan “Merdeka!!! Merdeka!!!Merdeka!!!” oleh Perdana Menteri Malaysia yang pertama, Yang Teramat Mulia Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj. Detik bersejarah yang tersemat kukuh dalam sanubari setiap rakyat Tanah Melayu.  .  Sedarkah kita, sehingga detik berharga ini, selepas 55 tahun yang bersejarah,  kita masih dapat mengecapi nikmat kebebasan yang telah diperjuangkan oleh perwira2 negara?

Sekalung apresiasi saya hulurkan buat saudara peneraju majlis,  kombinasi panel kehakiman berintelektual dan berintegriti, dif-dif kehormat yang disanjungi, seterusnya, hadirin hadirat yang saya hormati.  

Hadirnya saya disini bukanlah untuk menyampaikan amanat Merong Mahawangsa, bukan juga untuk melemparkan kata-kata  dusta, akan tetapi, hadirnya saya disini untuk menyampaikan mauduk bicara yang berbunyi 55 Tahun Merdeka : Bangsa Malaysia Terus Perkasa.

Putra-putri anak merdeka,

Frasa Bangsa  Malaysia merujuk kepada penyatuan kaum-kaum yang ada di Malaysia seperti Melayu, Cina dan India, manakala Terus Perkasa saya takrifkan sebagai kejayaan dan kemampuan dalam mendepani cabaran sepanjang 55 tahun kita merdeka dari aspek politik, ekonomi dan sosial. Secara tuntasnya, pidato saya pada hari ini akan melihatkan pencapaian Bangsa Malaysia dalam pelbagai bidang dan kejayaan-kejayaan ini terus diperkasakan dari dulu, kini dan selamanya.  Hadirin sekalin marilah sama-sama kita hayati pidato saya melalui empat fokus bicara yang berbeza.

Putera-Puteri anak pertiwi,

Pertama, Ilmu diperkasa, mentaliti diperkaya. Menurut Nelson Mandela, Mantan Presiden Afrika Selatan, ilmu merupakan senjata paling berkuasa untuk mengubah dunia. Senjata yang boleh mengubah perspektif manusia dan  membuka mata dunia. Misalnya, perkembangan dan pembudayan ilmu telah berlaku secara intensif di malaysia. Jika dahulu kebanyakan masyarakat Tanah Melayu buta huruf namun, pada hari ini kita mampu berbangga dengan pencapaian rakyat Malaysia sehingga mampu mengharumkan nama negara dalam bidang pendidikan.  Semua anak-anak kecil diberikan peluang sama rata untuk belajar. Dari lahirnya Penyata Razak 1956 yang memungkinkan masyarakat kita diberi peluang untuk menimba ilmu pengetahun, sehinggalah kepada dasar-dasar yang digubal dewasa kini bagi melahirkan Bangsa Malaysia yang cintakan pengetahuan  serta  memugar ilmu. Sekolah-sekolah di seluruh negara terus bertambah bagi memberikan peluang semaksimum mungin untuk anak-anak Bangsa Malaysia mendapat pendidikan yang sebaiknya.  Hari ini kita berbangga apabila kita berjaya melahirkan ramai ilmuan dan cendikiawan negara. Mentaliti bangsa kita semakin meningkat hari demi hari, semuanya kerana nilai ilmu yang diangkat ke tahap yang lebih  tinggi.

Kedua, ekonomi dijana, rakyat sejahtera. Sehingga detik ini, bangsa malaysia terus memacu ekonomi malaysia dengan jayanya. Strategi ekonomi yang mantap telah direncana semata-mata untuk kesejahteraan bersama. Empat tonggak transformasi ekonomi telah dirangka, khas untuk pembangunan negara yang tercinta. Koridor pertumbuhan ekonomi telah dibina, tidak lain tidak bukan untuk menjadi pemangkin kepada ekonomi negara. Sedarkah anda, sejak dari penubuhan Malaysia pada tahun 1963, pelbagai inisiatif telah dijalankan.dasar ekonomi baru, model baru ekonomi,program transformasi ekonomi dan berbagai-bagai lagi inisiatif telah dijalankan. Kita telah berusaha menaikkan taraf ekonomi rakyat. Kita telah berusaha untuk menaikkan gaji bangsa sejagat. Masalah ekonomi negara kita ubat. Masalah korupsi, cuba kita sekat. Hasilnya, menurut Buku Tahunan Daya Saing Dunia 2010, yang diterbitkan oleh Institut Pembangunan Pengurusan Dunia, Malaysia telah menempah tempat ke 10 dalam negara paling kompetetif dunia. Tidak cukup dengan itu, pada tahun 2010 juga, ekonomi malaysia telah berkembang sebanyak 7.2 peratus dan kita mempunyai kadar integrasi global yang sangat tinggi. Krisis kewangan pada akhir tahun 90-an dan tahun 2008 dapat kita tangani. Kadar keluaran dalam negara kasar kita telah mencapai tahap tertinggi. Sekarang, kita menuju kepada negara berpendapatan tinggi. Lihat, hasil usaha sama seluruh bangsa malaysia tak kira dari melaka, bintulu nun jauh di sana, masih menyumbang bakti kepada pembangunan ekonomi negara.

Hadirin Hadirat sekalian,

Ketiga, rakyat bersatu, perpaduan terbina. Tun Dr mahathir Mohamad pernah berkata, Manusia yang lemah sekalipun jika bersatu padu akan dapat menggoncang dunia. Demikianlah kesannya perpaduan. Pada setiap hari, kita tidak akan pernah lekang daripada disemai bibit-bibit perpaduan dalam lubuk hati kita. Gagasan 1 Malaysia, yang menekankan elemen perpaduan, telah diperkenalkan dan menjadi buat mulut seluruh rakyat Malaysia. Kini, sekalian rakyat mempunyai satu haluan, satu tujuan. Perpaduan telah disemai subur  sejak dahulu lagi melalui sistem pendidikan kebangsaan yang telah diusulkan dalam Laporan Razak. Bahasa Malaysia telah menjadi bahasa penghantar utama dalam pembelajaran. Kerajaan sedar, untuk menyemai perpaduan, kita perlu menyemai dari kecil, bak kata pepatah, melentur buluh biarlah dari rebungnya. Tidak cukup dengan itu, dari aspek politik,parti-parti  politik yang dahulunya memperjuangkan semangat perkauman sahaja telah bergabung untuk menjadi satu parti gabungan yang memperjuangkan semangat kenegaraan atau nasionalisme. Inilah  sebenarnya perpaduan yang ingin kita bentuk agar bangsa malaysia akan terus perkasa dan disegani dunia.

Warga dewan yang budiman,

Ke empat, pencapaian hebat, nama malaysia terpahat. Hari ini, Bangsa malaysia telah melahirkan ramai insan-insan hebat yang telah mengharumkan mana Malaysia di persada jaya. Dari ketokohan Tun Dr Mahathir Mohammad memimpin negara, kehebatan Dato Dr Muzhafar Shah menjeki anagkasa sehinggalah kemampuan Dato Lee Chong Wei dan Pandalela Rinong untuk meraih pingat Olimpik, kita tidak pernah ketandusan nama-nama terbilang. Semuanya bertolak dari kehebatan, semangat dan keinginan untuk mengangkat nama Malaysia di persada dunia. Usaha yang bukan sedikit dari mereka , perlu dijadikan panduan dan tauladan. Kemmapuan Bangsa Malaysia dalam berdiri sama tinggi, duduk nampak sama rendah bersama bangsa-bangsa lain di dunia harus kita banggakan. 55 tahun bangsa kita terus hebat.

Anak-anak bangsaku,

Saya dapat menyimpulkan bangsa Malaysia mempunyai kekuatan dan kelebihan yang tersendiri. Nilai-nilai keperkasaan dan kegemilangan masih utuh mendasari bangsa Malaysia. Ayuhlah anak-anak bangsaku, kita kita kibarkan potret kegemilangan Malaysia selagi hayat dikandung badan. Sekian, Salam Bangsa Malaysia Perkasa, Wabillahitaufiq walhidayah wassalamualaikum warahmatullah hiwabarakatuh.

Disediakan oleh : SHAHNUN ABDUL GHANI DAN KHAIRUL HAFIZ KHAIRUL ANNUR

Disampaikan oleh : KHAIRUL HAFIZ KHAIRUL ANNUR (Tempat ke-3 Pertandingan Pidato Yayasan Selangor Kali Ke-6, 2012)




TERIMA KASIH KERANA SUDI MENGUNJUNGI BLOG KELAB HOKI STAR.KAMI MENGALU-ALUKAN SEBARANG KOMEN ANDA

TEKS PIDATO DI RAJA PIALA KPM - AKHLAK MULIA, KELUARGA BAHAGIA


Bismillahirahmanirrahim

Amerika Syarikat bertamadun tinggi berdiri kukuh sebagai kuasa besar dunia, namun kebejatan sosialnya semakin menggila sekaligus menidakkan nilai-nilai insani yang seharusnya menunjangi kehidupan keluarga bahagia. Institusi keluarga tergugat, lantaran akhlak yang mulia telah diabaikan, sebaliknya digantikan dengan konsep matlamat menghalalkan cara dalam segala aspek kehidupan keluarga. Nantikan natijahnya, renungkan.

Assalamualikum WBT dan salam keluarga bahagia.

Sejambak kasih seharum kasturi buat saudara peneraju majlis, jemaah hakim yang berintegriti, warga pendidik yang disanjungi seterusnya rakan-rakan seperjuangan yang dihormati.

Akhlak Mulia Keluarga Bahagia, demikianlah bingkisan wacana saya pada pagi ini.

Hadirin yang bervisi,
Manyusuri konsep AKHLAK MULIA KELUARGA BAHAGIA mempunyai kolerasi tersendiri.  Ramai percaya bahawa AKHLAK MULIA adalah kuasa kebahagiaan keluarga, masyarakat dan Negara. Justeru, hadirin sekalian, saya ingin mengajak anda menghayati TIGA focus bicara intipati wacana saya pada hari ini.
Pertama senarioa semasa institusi keluaraga hari ini, . Kedua cabaran yang dihadapi oleh istitusi keluarga dan ketiga , langkah mewujudkan keluaraga bahagia melalui pembentukan akhlak mulia.

Putera-puteri anak pertiwi

Masih segar di ingatan, kita disentak dengan peristiwa duka si bapa menikam mati si isteri meninggalkan anak-anak yang masih kecil, isteri tua menyimbah asid kepada suami tersayang kerana isu berpoligami, si anak pula membunuh ibu kandung angkara dadah yang menghantui diri.Statistik kes sumbang mahram, harapkan pagar, pagar makan padi yang dikeluarkan oleh kementerian Pembangunan Wanita dan Keluarga menunjukkan ada peningkatan kes setiap tahun iaitu 2503 kes pada tahun 2010 kepada 2952 kes pada tahun 2011. Senario reality masyarakat Malaysia sebegini amat menakutkan kita kerana seolah-olah masyarakat kita kehilangan rentak memacu bahtera keluarga. Anak-anak muda di bangku persekolahan sudah mempraktikkan gejala sumbang yang ditonton melalui kemajuan teknologi. Persoalannya, mempukah kita membentuk akhlak mulia dalam kalangan masyarakat kita dan seterusnya melahirkan keluarga yang bahagia dalam situasi sebegini.

Warga dewan budiman,

Cabaran dalam membentuk keluarga bahagia. Kehidupan moden hari ini bukan sahaja menuntut manusia untuk bekerja  keras bagi menampung kehidupan, namun manusia mula melupakan asas pembinaan keluarga menurut lunas dan akhlak yang mulia. Pembentukan keluarga nukleus tidak lagi menjadi keutamaan dalam era kemodenan ini. Para ibu bapa begitu sibuk bekerja sehingga anak-anak dibiarkan membesar tanpa ada pengawasan. Statistik  kes lari dari rumah yang dikeluarkan oleh PDRM Bukit Aman menunjukkan 87 peratus  kes lari rumah kerana kelalian ibu bapa. Pakej Keluarga bahagia berteraskan yang muda disayangi, yang tua dihormati, Konsep Rumahku Syurgaku tidak lagi menjadi ikutan bahkan dipandang sepi dalam masyarakat. Sungguh sedih melihat kehancuran akhlak dalam kalangan remaja. Imam Al Ghazali pernah berkata, untuk melihat kemajuan sesuatu bangsa, lihatlah remajanya hari ini. Namun, sayang seribu kali sayang, kes-kes moral terus meningkat saban tahun dan dilihat tiada kesudahannya.

Hadirin yang dikasihi,

Pepatah Melayu ada mengatakan, hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih. Peranan dan tanggungjawab membentuk masyarakat berkualiti diperkasakan melalui pelbagai médium di peringkat akar umbi. Agensi-agensi yang prihatin menyahut pelan strategik kerajaan  mengajak masyarakat  mengubah paradigma. Kursus pra perkahwinan  diwajibkan  kepada pasangan yang seia sekata mengikat janji Agar memperolehi kemahiran keibubapaan yang secukupnya. Amalan Budi Bahasa Budaya Kita, disemarakkan Agar jutaan rakyat Malaysia bersama-sama menghayati konsep jati diri dan membetulkan organisasi lantas menanam dan mengkambus jauh telunjuk lurus kelingking berkait. Didikan ágama dan kerohanian disemaisuburkan dalam diri setiap ahli keluarga dengan akhlak-akhlak mulia dan mahmudah agar sikap sayang menyayang dalam keluarga dan masyarakat tidak bertepi. Sudah tentulah puncak kasih akan berpanjangan. Jelas menunjukkan usaha-usaha telah dilakukan bagi membentuk akhlak mulia dan akhinya membentuk keluarga bahagia.


Anak-anak bangsaku

Saya dapat menyimpulkan bahawa bangsa Malaysia mempunyai kekuatan dan kelebihan yang tersendiri. Nilai-nilai tradisi dan akhlak mulia masih utuh mendasari prinsip keluarga bahagia. Ayuhlah anak-anak bangsaku, kita kekalkan warisan gemilang selagi hayat di kandung badan. Marilah kita lakarkan potret kegemilangan Malaysia pada masa hadapan.  Sekian Salam keluarga Bahagia. Wabillah hitaufiq walhidayah wassalamualikum WBT.

Disediakan oleh : SHAHNUN BIN ABDUL GHANI
Disampaikan oleh : DINIE ZHAFRI BIN ZAINUDDIN 
(Naib Johan Pertandingan Pidato Piala KPM Peringkat  Negeri Perak 2012)








TERIMA KASIH KERANA SUDI MENGUNJUNGI BLOG KELAB HOKI STAR.KAMI MENGALU-ALUKAN SEBARANG KOMEN ANDA

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...