Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

5 Dec 2011

Selamat Pergi , Qusyairi Fauzi . Jasa Anda Disanjung Tinggi .

Assalamualaikum ,


Siapa yang tidak kenal dengan insan berbadan besar yang cukup petah berbicara . Memecahkan rekod dalam sejarah KDBM saya kira apabila mencapai tahap tertinggi beliau pada umur 17 tahun yang mana merupakan tahun SPM beliau (kebanyakannya mencapai tahap puncak ketika umur 16 tahun) . Pemidato , Setiausaha Lembaga Pengawas , STARAYA , Setiausaha BADAR dan yang paling penting sekali Kapten/Presiden Kelab Debat Bahasa Melayu STAR Ipoh . Zamannya menjadi presiden cukup gemilang sehingga Piala Perdana Menteri bertandang jua ke Ipoh .

Secara umumnya , saya mewakili Keluarga Debat Bahasa Melayu mengucapkan selamat tinggal kepada Kapten pasukan bagi tahun 2011 , Nur Qusyari Fauzi yang baru sahaja menamatkan proses 'membesar' di STAR Ipoh . Jutaan terima kasih diucapkan kepada beliau atas segala jasa dan usaha untuk pasukan ini .


Secara peribadinya , saya mengenali beliau sejak di tingkatan 1 lagi semasa Pesta Bahas dijalankan . Memakai seluar pada paras yang tinggi , membimbit botol air dan gaya jalannya yang begitu comel pada masa itu amatlah diingati oleh kami , peserta Pesta Bahas ketika itu . Izinkan saya menceritakan pengalaman saya bersama beliau .

Pada mulanya , kami (pasukan Rumah Hitam) amat-amat tidak berpuas hati dengan beliau kerana beliau sering membantu pasukan Rumah Kuning dan beliau bagaikan memulaukan/membenci pasukan kami sedangkan pada masa itu beliau tidak boleh menyentuh mana-mana pasukan (sebab-sebabnya sya sudah lupa) . Sejak itu , saya mula mencop beliau sebagai orang yang tidak adil . Haha .

Naik ke tingkatan 2 , saya mula diserapkan ke dalam KDBM . Sejak itulah saya cukup mengenali beliau sebagai seorang yang prihatin , ceria , suka membantu orang lain , bersifat ke-ibu-an dan mungkin juga kuat makan barangkali . Pada masa inilah kami (Qucai , Amsya dan saya) mencari keserasian serta KIMIA kami sebagai satu pasukan . Dan sejak itulah kami memasang niat untuk membawa pulang Piala Tun Sri Lanang dan PPM . Hebat juga kami sehingga pernah sekali diiktiraf menang menentang pasukan senior ketika itu oleh pembahas BI yang bertindak sebagai juri .

Pasukan yang diidamkan menghiasi kulit depan Fokus SPM .

Beliau betul-betul memainkan peranan dalam mencorak kami dan junior-junior lain . Sebagai bukti penghormatan kepada beliau , saya tidak pernah ber-aku-kau dengan beliau . Malah bukan saya sahaja , Amsya , Latip dan Wan juga begitu (satu-satunya form 5 yang kami kekalkan dengan panggilan begitu) .

Segala suka , duka , nangis , tawa kami tempuh bersama . Kenangan dimarah oleh Ummi kerana beliau dan kami bersifat tidak matured ketika di SSP , kenangan berebut makanan , kenangan mencipta kejayaan bersama dan segala 1001 macam kenangan kini hanya dikenang dalam hati . Hilanglah lagi sebutir mutiara jernih berkilau di bumi STAR . Terima kasih Kapten .

Bakal pemimpin negara ? Insya-ALLAH .
Saya akan undi beliau tak kira beliau parti apapun . Haha .

Maka dijanjikan teduhan Arasy Allah di padang Mahsyar kelak andaikata kita bertemu dan berpisah hanya kerana ikhlas kerana ALLAH .

Selamat pergi untuk menempuh dunia luar , Qusyairi Fauzi .

TERIMA KASIH KERANA SUDI MENGUNJUNGI BLOG KELAB HOKI STAR.KAMI MENGALU-ALUKAN SEBARANG KOMEN ANDA

18 Nov 2011

UiTM, USIM JOHAN DEBAT PIALA PERDANA MENTERI IPT 2011


Universiti Teknologi Mara (UiTM) muncul juara kategori Bahasa Inggeris Debat Piala Perdana Menteri antara Institusi Pengajian Tinggi (IPT) Malaysia 2011 di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di sini Selasa.
UiTM, selaku pencadang, menewaskan UIAM dalam debat peringkat akhir yang membahaskan “Pemberian subsidi kepada semua pelajar sekolah dari semua sekolah kebangsaan dan swasta”.
UiTM, yang diwakili Mohd Syafiq Ahmed Bazari, Maizura Mokhsein dan Mohd Aerie Rashmond Rahman, membawa pulang wang tunai RM25,000, piala pusingan, piala iringan, piala individu dan sijil penyertaan daripada Menteri di Jabatan Perdana Menteri Senator Datuk Idris Jala.
Debat bertemakan ‘Generasi Muda Untuk Transformasi’ turut menyaksikan Mohd Syafiq Ahmed Bazari dari UiTM dinobatkan sebagai Pendebat Terbaik dan Pendebat Terbaik Keseluruhan yang membawa pulang wang tunai bernilai RM2,000 serta piala individu.
UIAM, yang diwakili Senad Hadrovic, Arinah Najwa Ahmad Said dan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, pula membawa pulang wang tunai RM15,000, piala iringan, piala individu dan sijil penyertaan.
Sebanyak 19 institusi pengajian tinggi awam dan swasta menyertai pertandingan kali pertama itu anjuran MyHarapan, sebuah yayasan amanah belia, dengan kerjasama Kementerian Pengajian Tinggi dan UIAM dan dinaungi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
USIM Juara Debat Bahasa Melayu Piala Perdana Menteri
Pendebat USIM yang terdiri daripada Ummu Umairah Azahari, Mohd. Ikhwan Mohd Rosseli, Mohammad Shah Izad Saleh dan Mohammad Irhamuddin Ibrahim telah berjaya membawa pulang wang tunai RM25,000, piala dan sijil penyertaan.
Manakala naib juara Kategori Bahasa Melayu ialah UiTM dan UIAM bagi Kategori Bahasa Inggeris. Masing-masing membawa pulang wang tunai RM15,000, piala dan sijil penyertaan.
Pertandingan itu juga menyaksikan pendebat USIM serta UiTM, Mohd. Ikhwan dan Mohd. Syafiq dipilih sebagai pendebat terbaik yang melayakkan mereka membawa pulang RM2,000.
Majlis penyampaian hadiah disempurnakan oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mewakili Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Ketua pendebat UiTM, Maizura, 21, berkata, kejayaan yang diperoleh pasukannya adalah disebabkan mereka sering menganggap perdebatan sebagai gaya hidup dan bukannya aktiviti kokurikulum.
“Oleh itu, setiap pertandingan yang kami sertai akan sentiasa ada peningkatan,” katanya ketika ditemui selepas majlis itu di sini, hari ini.
Debat PPM yang pertama kali dianjurkan disertai 44 institusi pengajian tinggi. Debat ini berlangsung selama lima hari bermula 20 Oktober lalu.
Sebelum ini, PPM hanya diadakan pada peringkat Sekolah Berasrama Penuh (SBP) sejak 1974. PPM 2011 adalah anjuran MyHarapan dengan kerjasama Kementerian Pengajian Tinggi dan UIAM.
SUMBER : ILLUSTRASIAKU


TERIMA KASIH KERANA SUDI MENGUNJUNGI BLOG KELAB HOKI STAR.KAMI MENGALU-ALUKAN SEBARANG KOMEN ANDA

11 Oct 2011

PERTANDINGAN DEBAT PPM PERINGKAT IPT


KUALA LUMPUR 4 Okt. — Pertandingan Debat Piala Perdana Menteri 2011 (PPM) peringkat Institusi Pengajian Tinggi (IPT) yang dianjurkan buat pertama kalinya, menawarkan hadiah wang tunai lumayan berjumlah RM25,000 untuk juara.
Bakal berlangsung di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), di sini dan bermula 20 Okt hingga 25 Okt depan, 192 peserta dari 24 IPT awam (IPTA) dan IPT swasta (IPTS) akan berentap dalam dalam dua kategori debat iaitu Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris.
Sebelum ini, PPM hanya mengadakan pertandingan peringkat Sekolah Berasrama Penuh (SBP) sejak 1974.
Pengarah program, Mohd Khair Ngadiron, dalam sidang media mengenai pertandingan itu hari ini berkata debat bertemakan ‘Generasi Muda Untuk Transformasi’ merupakan refleksi kepada keterbukaan Perdana Menteri dalam setiap tindakan serta keputusan yang dibuat kerajaan.
Khair berkata, debat tersebut akan didokumenkan dan disampaikan kepada kerajaan sebagai suara generasi baru.
"Penganjur juga telah memilih juri yang berkredibiliti tinggi agar pertandingan mampu menghasilkan debat yang baik,” katanya. — Bernama

TERIMA KASIH KERANA SUDI MENGUNJUNGI BLOG KELAB HOKI STAR.KAMI MENGALU-ALUKAN SEBARANG KOMEN ANDA

30 Aug 2011

Ummi , Jazaakillaahu

Assalamualaikum  WBT..






Seperti yang semua sedia maklum , perjuangan yang masih belum bernoktah ini bakal mengucapkan ungkapan perpisahan buat pengemudi bahtera yng sudah dikira 'legend' dalam dunia perbahasan , Ummi Hajah Noridah .

Secara jujurnya , saat pertama kali saya menerima SMS daripada Encik Shahnun , hati mana yang tak tersentak tatkala berita datang secara mengejut tanpa sapaan awal daripada pihak-pihak tertentu . Puas saya mengadu pada Yang Maha Esa . Dengan perginya Qusyairi , Ummi dan berita penarikan diri Cikgu Shahnun , saya hampir berputus asa dan hampir meletakkan keputusan untuk menoktahkan perjuangan ini .

Namun , saya fikir , sudah penat aku mengalah ! Sudah penat aku berputus asa ! Bila masanya untuk kita berfikir positif dengan qada dan qadar Allah yang sentiasa punya hikmah disebaliknya . Doakan kami untuk tahun hadapan . Mungkin agak klise ayat sebegini . Namun , inilah resepi utama kejayaan kita .

Berkenal rapat dan mesra dengan panggilan Ummi , teramat sedih rasanya untuk ....
Sifat Ummi yang tenang ketika menyampaikan sendiri berita ini kepada saya membuatkan saya begitu kagum dengan susuk tubuh wanita yang tabah ini .


Bukan sahaja ilmu debat , bahkan ilmu agama , ilmu kepemimpinan , ilmu kesantunan yang tinggi juga diterap oleh Ummi kepada kami . Manakan tidak kami memanggilnya Ummi .

Ummi , sedih hati mengenangkan pemergian Ramadhan ditambah pula dengan pemergian insan yang paling banyak berjasa ke alma mater yang baru . Ya , kita hanya bakal dipisahkan dengan sebatang jambatan (seperti yang Ummi titipkan buat saya tempoh hari)

Buat Aidilfitri yang datang menyapa ini , saya minta ampun dari hujung rambut hingga hujung kaki . Terasa terlalu banyak kesalahan kami , ketelanjuran kami , kebiadapan kami , kedegilan kami dan sebagainya . Maafkanlah Ummi . Terima Kasih atas jasamu yang tidak bisa digambarkan dengan madah .

Hanya insan biasa ,
Terkadang tak mampu aku ungkapkan ,
Terkadang tak mampu aku hebahkan,
Terkadang tak mampu aku gambarkan,
Apatah lagi untuk membalasnya .

Kuserahkan semua kepada-Nya,
Moga dikira 
Tiap langkah

Tiap ungkapan
Tiap pengorbanan
Tiap keletihan
Tiap kepenatan
Sebagai ibadat semata-mata untuk-Nya
Dan direnjis dengan nikmat rahmat serta balasan Jannah
Ummi , Jazaakillahu .

Uthman AG , Malam Raya , 1 Syawal 1432H , ketika takbir bergema


TERIMA KASIH KERANA SUDI MENGUNJUNGI BLOG KELAB HOKI STAR.KAMI MENGALU-ALUKAN SEBARANG KOMEN ANDA

17 Aug 2011

DEDIKASI BUAT PUAN NORIDAH BTE HAJI RAMLAN





Assalamualaikum WBT dan selamat meneruskan ibadat puasa di bulan Ramadhan. Alhamdulillah, berita baik yang ingin dikongsikan buat semua Keluarga Debat Bahasa Melayu STAR Ipoh, ialah Puan Noridah Binti Haji Ramlan, iaitu jurulatih debat Bahasa Melayu STAR telahpun dinaikkan pangkat daripada jawatan Guru Kanan Bahasa STAR kepada jawatan Penolong Kanan Kokurikulum Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Gopeng (i-Gop). Tahniah sekali lagi dari kami seluruh warga KDBM STAR Ipoh.

Izinkan saya untuk berkongsi rasa dan bicara buat semua. Ada dua situasi sebenarnya ingin saya nyatakan. Pertama, sudah tentu kami Warga KDBM amat berbangga kerana Puan Noridah telah berjaya berada selangkah ke hadapan dalam bidang pentadbiran, kerana bukan senang untuk dipilih menjadi pentadbir. Sudah tentu latar belakang, kebolehan dan kemampuan serta  pengalaman menjadi elemen utama pemilihan ini dan saya tidak mempunyai sedikitpun perasaan ragu tentang kemampuan beliau untuk memikul amanah ini. Sepanjang mengenali beliau, melihatkan kepada komitmen dan kesungguhan sememangnya beliau merupakan calon yang paling layak. Namun, sebagai rakan sekerja yang telah hampir sembilan tahun bergelumang bersama-sama membangunkan arena bahas STAR, hati sedikit tersentuh dan sebak atas kehilangan seorang sifu, kakak dan guru yang banyak menunjuk ajar saya dalam arena perbahasan mahupun kehidupan.

Masih teringat di tahun-tahun awal saya mula menyertai keluarga ini. Dari zaman Khalis, Chor, trio Farid, Harinn dan Syazwan. Kemudiannya diteruskan oleh Siraj, Bapak, Ikhwan pada tahun berikutnya. Kejayaan oleh Paman, Acap, Azri, Faizs sentiasa mekar meniti bibir. Dan kemuncaknya kemunculan trio Uthman, Quchai,  Amirul dan Amir Syafiq yang akhirnya menoktahkan kejayaan bermakna buat Puan Noridah. Dan Alhamdulillah, kita masih memiliki nama-nama yang memiliki potensi seperti Wan Hafizan, Dhinie, Aiman, Muhaimin. Syafiq dan ramai lagi. Bukan sehari dua usaha digembeling bagi mengeluarkan 'potensi' yang ada dalam diri mereka sehingga  menjadi kebanggaan KDBM khasnya dan sekolah amnya.

Sudah banyak jasa yang telah dicurahkan, banyak benar budi yang dihulurkannya. Tanyalah kepada anak-anak yang telah saya sebutkan nama di atas. Sudah tentu tidak ada yang akan mmapu menafikannya. Sebagai pengikut dan murid yang setia, saya mulai mengikuti perjalanan bahas KDBM pada tahun 2004 dengan trio pertama pada waktu tersebut iaitu Adam, Shidot dan Meor. Dan saya tidak menoleh lagi selepas itu dan tidak pernah tanpa gagal untuk saya menjadi pembantu yang setia menemani ke mana-mana kejohanan yang disertai. Dari PPM zon utara, kebangsaan, hinggalah ke UIA dan berkelana seketika ke Bangi bagi menyertai kejohanan UKM. 

Benar kata orang, yang patah pasti kan tumbuh, yang pergi pasti muncul pengganti. Namun, orang selalu lupa, yang datang itu belum tentu akan sama redup pandangannya, kritis fikirannya, telus pandangannya dan ikhlas didikannya. Maka tinggal lah saya dan anak-anak ini untuk meneruskan perjuangan yang belum ternoktah lagi. Mempertahankan kejayaan lebih sukar dari mencapai kejayaan. Justeru cabaran utama pada tahun mendatang adalah mempertahankan Piala Perdana Menteri, apatah lagi STAR bakal menjadi persinggahan untuk HKSBP menjelang tahun 2012.

Tiada hadiah ribuan ringgit dalam mengiringi pemergian seorang sahabat yang bernama Puan Noridah. Mungkin yang ada hanyalah titisan air mata yang bakal mengiringi nya ke sekolah baru. Terima kasih selaut kasturi buatmu atas tunjuk ajar serta kasih sayang yang diberikan sepanjang 9 tahun berkelana di bumi bertuah ini. Terima kasih setinggi gunung kerana meninggalkan legasi yang cemerlang buat KELUARGA DEBAT BAHASA MELAYU STAR Ipoh. 

Terima kasih sahabat
Kerana mengizinkan aku berteduh
Di bawah payung kasihmu
Merelakan aku menyulam mesra
Dalam benang persahabatan
Membiarkan aku mewarnai catatan memori
Pada kertas kenangan
Terima kasih
Kerana mengibarkan  panji untukku
Berlindung dari hujan kebimbangan
Menadah perahu setia
Untukku melayar duka
Dari luka yang tidak terhingga...

Selamat maju jaya buatmu, Puan Noridah bte Haji Ramlan
(Jun 2003-Ogos 2011)



Shahnun AG, Nuzul Quran, Ramadhan 17, 1432 H


TERIMA KASIH KERANA SUDI MENGUNJUNGI BLOG KELAB HOKI STAR.KAMI MENGALU-ALUKAN SEBARANG KOMEN ANDA

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...