7 Aug 2015
6 Aug 2015
TERIMA KASIH PASCA FINAL PPM 205
Alhamdulillah, setinggi kesyukuran dipanjatkan ke hadrat Ilahi kerana dengan izin-Nya tahun 2015, pasukan Debat Bahasa Melayu STAR berjaya memenangi Pertandingan Akhir Bahas Piala Perdana Menteri 2015. Allahu Akbar, yang mengatur perjalanan hamba-Nya dan mengatur rezeki hamba-Nya. Dalam pentas akhir, STAR telah berjaya menewaskan Sekolah Menengah Agama Persekutuan kajang (SMAP K). Dengan Usul Negara maju Penyelamat Krisi Alam Sekitar.
Dedikasi ucapan terima kasih buat ke-empat-empat mereka, Afif, Syameel, Ilman dan Alif yang telah merealisasikan kejayaan ini. Keazaman untuk menebus kekalahan separuh akhir oleh pendebat-pendebat senior pada tahun 2013 dan 2014 begitu tinggi. Dan ternyata pada tahun ini, mereka berjaya menebus kekalahan 'abang-abang' mereka serta mengulangi pencapaian tahun 2011. Kesanggupan untuk tidur lewat saban malam, menahan telinga daripada komen-komen kadangkala menyayat hati daripada guru dan bekorban masa belajar akhirnya membuahkan hasil. Tahniah kalian, terus tunduk dan istiqamah, banyak lagi mehnah dan tribulasi yang menanti di hadapan.
Ilman, Syameel, Afif dan Alif.
Kepada alumni KDBM STAR yang telah meninggalkan sekolah, tetapi jiwa dan raga mereka tetap utuh dan kasih pada keluarga ini. Kesanggupan meluangkan masa membantu menjengah adik-adik di sekolah amatlah dihargai. Dan pengorbanan mereka terbalas apabila kekalahan separuh akhir 2013 dan 2014 akhirnya ditebus jua tanggal 2 Ogos 2015. Sekadar menyebut beberapa nama Quchai, Osman, Amsya, Black, Dini, Ahmad Aiman, Wan Hafizan, Khairul Hafiez, Dinie, Muhaimin, Adib dan Syafiq Jebat. Teruslah menabur bakti pada 'keluarga' yang banyak berjasa kepada kalian.
Alumni KDBM yang banyak membantu.
Jua kepada para ibu bapa yang begitu komited dalam membantu persiapan pasukan. Encik Azlan sekeluarga, En Mahathir sekeluarga, Encik Hasni sekeluarga dan Encik Razak sekeluarga. Kemana sahaja ada pertandingan, adalah mereka. Begitu juga sokongan dari aspek kewangan membantu menyediakan air minuman untuk latihan yang diuruskan oleh para ibu bapa.
Tidak lupa juga buat para pendebat junior yang turut saban malam membantu menyediakan bahan-bahan dan fakta-fakta kes, kumpulan 'research' dan kumpulan 'sparring'. Tanpa kalian, kejayaan ini tidak akan datang secara mudah. Moga semua mendapat inspirasi dari kejayaan ini dan Insha Allah setahun dua lagi, giliran kalian pula untuk meneruskan legasi KDBM STAR.
Para pendebat junior yang banyak membantu pendebat senior.
Terakhirnya, jangan mudah merasa puas dengan sedikit kejayaan yang Allah pinjamkan ini. terus istiqamah dalam berbahas, moga ada kejayaan lain yang Allah janjikan untuk kita di kemudian hari.
Shahnun Abdul Ghani,
Guru pembimbing KDBM STAR IPOH
06082015
10.00 pagi
AFIF NAZHAN JOHAN PIDATO SEKOLAH MENENGAH PERINGKAT NEGERI PERAK
Seorang pelajar Sekolah Tuanku Abdul Rahman, Muhammad Afif Nazhan bin Mohd Hasni telah berjaya menjadi JOHAN Pertandingan Pidato Sekolah Menengah Peringkat Negeri Perak. Muhammad Afif, pelajar Tingkatan 4 telah mewakili daerah Kinta Utara dalam pertandingan tersebut. Afif telah berjaya menewaskan 9 orang peserta yang bertanding.
Dalam pertandingan yang berlangsung di SMK Bukit Merchu, Kuala Kangsar ini, Muhammad Afif telah menyampaikan pidato wajib bertajuk ” Keamanan Bukan Impian.” Sementara itu, untuk bahagian spontan, Muhammad Afif telah diberikan tajuk” Teknologi Hijau Menyelamatkan Alam Sekitar”. Dengan kemenangan ini, Muhammad Afif akan mewakili negeri Perak ke peringkat Kebangsaan pada bulan September nanti.
5 Aug 2015
FINAL BAHAS BAHASA MELAYU DAN BAHAS BAHASA INGGERIS PIALA PERDANA MENTERI 2015
4 Aug 2015
STAR, MCKK JUARAI BAHAS PIALA PERDANA MENTERI 2015
KUALA LUMPUR, 2 Ogos (Bernama) -- Sekolah Tuanku Abdul Rahman (STAR) Ipoh dan Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) dinobatkan johan Bahas Piala Perdana Menteri ke-42, masing-masing bagi kategori Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris.
Dalam pertandingan akhir yang berlangsung di Menara Berkembar Bank Rakyat pada Ahad, MCKK berjaya mengekalkan kejuaraan dua kali berturut-turut apabila menewaskan Kolej Tunku Kurshiah, Negeri Sembilan dengan membahaskan tajuk "This House Believes that the United Nation Human Rights Council should be Abolished".
Manakala STAR menewaskan Sekolah Menengah Agama Persekutuan (SMAP) Kajang dengan tajuk "Negara Maju Penyelamat Krisis Alam Sekitar".
Pembahas MCKK, Amir Aniq Abdul Hazis muncul Pembahas Terbaik Bahasa Inggeris, manakala Muhammad Faris Mohd Idris dari SMAP Kajang dinamakan Pembahas Terbaik kategori Bahasa Melayu.
Pertandingan perbahasan itu khusus bagi Sekolah-sekolah Berasrama Penuh.
Juara membawa pulang wang tunai RM4,000, sijil penyertaan dan piala pusingan manakala naib juara menerima RM2,000, sijil dan piala pusingan.
Pembahas terbaik pula menerima wang tunai RM1,000, sijil dan hadiah iringan.
Hadiah-hadiah disampaikan oleh Pengarah Urusan Bank Rakyat Datuk Mustafha Ab. Razak.
SUMBER : BERNAMA





